
KLANG: Seorang nelayan maut, manakala dua lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dirempuh sebuah bot pukat tunda berhampiran Pulau Klang, di sini pada kelmarin.
Insiden dilaporkan berlaku sekitar jam 11 malam, kira-kira 0.3 batu nautika utara Pulau Klang ketika tiga nelayan itu sedang menangkap ikan.
Mangsa yang maut dikenali Zamri Mohd Harun, 56, yang berjaya ditemui pasukan mencari dan menyelamat sekitar jam 8:30 pagi ini.
Sementara dua yang terselamat ialah Suzamri Mohd Sabri, 56, dan Yazid Harun, 52, dibawa ke Jeti Maritim Negeri Selangor, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan susulan akibat cedera dan keletihan.
Mengetahui insiden tersebut, Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali turun padang ke Pengkalan Nelayan Sementa untuk bertemu komuniti nelayan setempat dan pihak berkuasa berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Klang Utara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Klang Utara.
Beliau turut memaklumkan terdapat aduan daripada nelayan setempat berkenaan operasi bot pukat tunda di kawasan berkenaan yang dikatakan telah beroperasi di perairan tidak sepatutnya.
“Mereka mengadu sepatutnya sebagai nelayan pantai yang beroperasi empat kilometer daripada pantai, mereka telah mengalami sedikit gangguan daripada bot yang berskala lebih besar yang sepatutnya tidak mengganggu kawasan ini.
“Bot pukat tunda ini sepatutnya beroperasi lapan ke sembilan kilometer jauh daripada kawasan pantai ini. Kalau begini yang dikuatkuasakan, kita boleh kurangkan kemalangan bot-bot nelayan kecil kita.
“Pendapatan mereka juga terjejas apabila bot-bot pukat tunda ini telah mengaut segala ikan-ikan dan hasil laut yang ada di sini. Mereka telah kehilangan hasil pendapatan. Jadi saya berharap pihak yang berkaitan supaya mengambil tindakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dua mangsa yang terselamat itu telah diselamatkan bot lain kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian. – HARAKAHDAILY 20/5/2025











