Sawit patutnya jadi ‘durian runtuh’ kepada Malaysia, malangnya…

Perang Tarif Amerika Syarikat

- Advertisement -

ISU perang tarif oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menimbulkan kegusaran tentang kesannya terhadap ekonomi dalam kalangan negara-negara terlibat.

Sungguhpun begitu, di sebalik tindakan keras AS melibatkan hampir 90 negara itu, sebenarnya ada beberapa ruang dan peluang yang terhidang terhadap Malaysia.

Baru-baru ini dalam sidang khas Parlimen berkaitan dengan isu tarif ini, saya sebagai Ketua Portfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional telah terlibat sebagai salah seorang pembahas.

Dalam perbahasan itu, saya telah membangkitkan tentang kesan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia akibat daripada perang tarif itu.

Tindakan drastik perang tarif AS itu telah menyebabkan banyak negara telah melaksanakan tarif timbal balas yang tinggi terhadap import kacang soya negara mereka dari AS.

Tarif timbal balas ini telah mengurangkan import terhadap produk soya termasuk minyak soya yang selama ini menjadi pesaing kepada minyak sawit yang dikeluarkan Malaysia.

Ini yang saya katakan bahawa wujud sudut positif dalam kekalutan ini iaitu tarif timbal balas yang dikenakan terhadap soya menjadikan harga minyak soya naik mendadak dan sebagai alternatif pengguna-pengguna antarabangsa mula beralih kepada minyak sawit.

Ia bukan berkaitan dengan eksport sawit kita ke AS, tetapi berkaitan eksport sawit kita ke negara-negara yang sedang berdepan perang tarif oleh AS yang telah mengenakan tarif timbal balas terhadap minyak soya menjadikan minyak soya mahal dan harga minyak sawit lebih murah.

Ia telah menyebabkan permintaan terhadap sawit meningkat akibat kenaikan kos soya natijah dari tarif timbal balas dikenakan negara-negara lain terhadap AS dan sewajarnya menjadi ‘durian runtuh’ kepada Malaysia sebagai pengeksport sawit kedua terbesar dunia.

Memang benar rundingan antara AS dan China di Switzerland pada hujung minggu lepas telah mencapai persetujuan untuk AS mengurangkan tarif dari 145 peratus ke 30 peratus manakala China pula mengurangkan tarif timbal balas terhadap AS kepada 10 peratus berbanding 125 peratus sebelum ini.

Tetapi kita harus ingat bahawa industri soya menyumbang kepada USD27 bilion daripada eksport tahunan AS pada 2023 dengan China dan Kesatuan Eropah (EU) antara pengimport terbesar menjadikan komoditi ini sering dijadikan ‘senjata’ oleh negara-negara lain sebagai tarif timbal balas.

Di saat AS sendiri yang memulakan ‘perang’ ini dengan matlamat untuk memaksa negara-negara tertentu meningkatkan import mereka terhadap AS demi mengatasi defisit imbangan perdagangan sudah tentu persetujuan yang telah dicapai itu berisiko untuk berubah lagi pada masa-masa akan datang.

Seperkara lagi kenaikan Levi Eksport minyak sawit Indonesia dari 7.5 peratus kepada 10 peratus bermula 17 Mei yang lalu bagi tujuan menggalakkan pengeluaran biodiesel tempatan dan membiaya proses penanaman semula, namun ianya juga turut menyebakan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia meningkat kerana harga MSM yang kompetitif.

Malangnya, di sebalik peluang yang mungkin terhidang, kita mungkin tidak dapat benar-benar mengambil peluang daripada situasi ini disebabkan masalah pengeluaran sawit yang semakin merosot akibat masalah pokok tua yang menghantui industri penanaman sawit negara sekian lama.

Untuk rekod, saya telah banyak kali menyuarakan kebimbangan ini semenjak dari awal saya dipilih sebagai Ahli Parlimen lagi tentang kadar penanaman semula yang rendah menyebabkan masalah pokok tua semakin membarah.

Setakat ini kadar penanaman semula sawit adalah sekitar dua hingga tiga peratus sedangkan kadar pokok tua meningkat lima hingga enam peratus setahun.

Dari tahun 2021 hingga tahun 2023 purata pengeluaran tandan buah segar (TBS) berkadar malar sekitar 15 tan per-hektar sahaja semenjak tahun 2021 hingga 2023 berbanding unjuran 19.05 tan per hektar.

Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) pada 2 Oktober 2023 melaporkan bahawa terdapat seluas 660,000 hektar atau 11.1 peratus pokok sawit yang berumur lebih dari 25 tahun dan tidak produktif.

Menjelang 2027 juga, terdapat hampir dua juta hektar, iaitu mewakili 33 peratus daripada jumlah kawasan yang ditanam kelapa sawit akan mencapai umur melebihi 20 tahun.

Sepanjang menjadi Ahli Parlimen juga, saya telah berkali-kali mencadangkan dalam perbahasan saya agar pihak kerajaan dapat mengembalikan ‘Windfall levi’ yang di kutip dari industri di kembalikan kepada industri sawit dalam bentuk insentif penanaman semula terutama kepada syarikat-syarikat perladangan kecil sederhana agar dapat mempercepatkan proses penanaman semula.

Walaupun kita mungkin tidak dapat mengambil peluang besar daripada krisis dagangan akibat ‘perang tarif’ dalam masa terdekat ini, namun isu ini harus ditangani segera untuk tujuan jangka panjang industri sawit.

Kerajaan harus mengambil serius isu ini demi untuk memastikan bahawa sekiranya pertikaian hubungan dagang antara negara-negara seperti ini berlaku lagi sehingga berlaku kenaikan mendadak terhadap permintaan sawit, maka kita benar-benar dapat mengambil peluang itu.

Jika tidak kita hanya akan berputih mata dan terpaksa melihat peluang itu berlalu begitu sahaja.

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu
Ketua Potfolio Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 17/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -