
ARAU: Keunggulan sesebuah negeri tidak hanya terletak pada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi turut dipacu oleh mentaliti rakyatnya, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah sempena Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis bersempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Raja Perlis, yang berlangsung di Balairongseri Istana Arau, di sini hari ini.
Mewakili seluruh Usrah Kerabat Diraja Negeri Perlis, baginda menggariskan harapan besar agar rakyat negeri ini membudayakan pemikiran kelas pertama dalam setiap aspek kehidupan, khususnya dalam urusan tadbir urus dan penglibatan sosial.
“Impiannya, rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan menjadi wadah utama dengan tata kelola dan tadbir urus yang penuh amanah dan integriti berpaksikan syura merentasi perbezaan, berfokus kepada jalan solusi, hikmah, cekap, pantas dan inklusif, demi manfaat membela nusa dan nasib rakyat jelata,” titah baginda.
Titah tersebut turut menekankan pentingnya pendekatan bersepadu dalam usaha memacu kemajuan negeri, termasuk dari sudut transformasi ekonomi, pembangunan prasarana dan pengukuhan kesejahteraan rakyat.
“Aspek transformasi, ekonomi, prasarana serta kemakmuran negeri dapat diukur melalui Petunjuk Prestasi Utama yang jelas, perancangan yang komprehensif, serta dinilai dari masa ke masa agar mencapai objektif seperti yang dihasratkan,” titah baginda lagi.
Tuanku Syed Faizuddin turut mengajak semua pihak dari pemimpin negeri hingga kepada rakyat jelata untuk berganding bahu merealisasikan aspirasi Perlis sebagai negeri yang maju, aman dan harmoni.
“Insya-Allah, segalanya kehendak yang terpatri kukuh ini berupaya dizahirkan dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak.
“Berkat naungan kasih dan wibawa Tuanku Raja serta iringan doa dan tawakal yang tidak pernah kunjung padam ke hadrat Ilahi, segala impian akan menjadi nyata,” titah baginda penuh yakin. – HARAKAHDAILY 17/5/2025











