
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan keputusan Kerajaan Negeri Kedah dan Perlis untuk tidak melanjutkan lesen perniagaan vape sebagai langkah berani dan bertanggungjawab demi menjaga masa depan rakyat, khususnya generasi muda.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tersebut, yang menurutnya turut memperlihatkan keprihatinan kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional terhadap kesejahteraan rakyat.
“Tindakan tegas sebegini memberikan gambaran bahawa kerajaan seharusnya memimpin rakyatnya ke arah kebaikan,” tegas beliau, sambil menambah bahawa bahaya vape bukan lagi perkara kecil dan sering menjadi pintu kepada penagihan dadah sintetik.
Negeri Terengganu sebelum ini telah mengumumkan larangan serupa, manakala Kelantan pula telah menghentikan pengeluaran lesen vape sejak tahun 2015 lagi.
Menurut Ahmad Yahaya, pengharaman ini adalah mesej jelas bahawa kerajaan negeri meletakkan kesihatan dan keselamatan rakyat di hadapan, walaupun terpaksa mengambil keputusan yang tidak popular.
Dewan Ulamak PAS Pusat tegasnya, turut menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menilai semula langkah mengeluarkan nikotin daripada senarai racun.
Pihaknya juga mencadangkan agar dasar Generasi Penamat (GEG) yang dimansuhkan sebelum ini dikembalikan semula sebagai langkah memperkukuh kesihatan awam negara.
“Kerajaan yang bertanggungjawab adalah mereka yang memimpin rakyat berpaksikan kebenaran, bukan sebaliknya ‘membeli’ rakyat hanya kerana kehendak kuasa dan kepentingan,” katanya lagi.
Langkah konsisten kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional ini sekali lagi menegaskan bahawa kepimpinan yang berani dan tegas amat diperlukan dalam menghadapi cabaran sosial yang kian meruncing, terutamanya dalam kalangan anak muda. – HARAKAHDAILY 16/5/2025











