Mohon diselesai isu pencemaran bau sejak 2023

Mohon diselesai isu pencemaran bau sejak 2023

Dr Ab Halim
- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Isu pencemaran bau yang berlarutan sejak 2023 di Kampung Paya Jaras mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa dan penduduk tempatan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, pencemaran bau itu disyaki berpunca daripada kerja-kerja projek tambakan tapak Tanah Perkuburan Baharu Paya Jaras Dalam yang sedang dijalankan.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah serta agensi seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS); Jabatan Alam Sekitar (JAS); dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Seterusnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling; dan lain-lain yang telah turun padang bagi meninjau aduan penduduk berkaitan masalah pencemaran bau yang berlarutan sejak 2023,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

Bau busuk yang ‘menyengat hidung’ dengan air tercemar berwarna kehitaman di sepanjang parit di kawasan Lorong Haji Baie 3, Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, Selangor. (FOTO: FB/Dato’ Dr Halim Tamuri)

Dr Ab Halim turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk kerana tampil membuat aduan dan berharap tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara.

“Terima kasih juga kepada semua penduduk yang tampil membuat aduan. Komitmen dan tindakan semua pihak amat dihargai. Pihak kami berharap agar tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera.

“Ini bagi memastikan kesejahteraan penduduk terus terpelihara serta meredakan kegelisahan penduduk sekitar yang telah sekian lama terjejas. Terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama semua pihak,” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Terdahulu, penduduk di situ mengadu berkenaan bau busuk yang sangat kuat dipercayai berpunca daripada air berwarna kehitaman yang mengalir dalam parit berhampiran kawasan perumahan mereka.

Ab Halim turut melakukan tinjauan di tapak itu bersama penduduk serta mendapati keadaan menjadi lebih teruk setiap kali hujan turun.

“Bau busuk yang ‘menyengat hidung’ dengan air tercemar berwarna kehitaman di sepanjang parit tersebut. Setelah hampir dua tahun isu ini masih berlarutan sehingga kini dan telah mengganggu ketenteraman dan kedamaian penduduk setempat.

“Saya mengharapkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu ini yang membelenggu masyarakat di kawasan tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

Isu pencemaran bau yang berlarutan sejak 2023 di Kampung Paya Jaras mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa dan penduduk tempatan. (FOTO: FB/Dato’ Dr Halim Tamuri)
- Advertisement -