PMX buat Malaysia jadi bahan ketawa antarabangsa

Gurauan isteri kedua

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengkritik gurauan ‘isteri kedua’ oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam lawatan rasminya ke Moscow baru-baru ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, Anwar seharusnya berasa malu dengan gurauan yang dilakukan itu ketika pertemuan bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin di Dewan Besar St Andrew.

“Beliau telah lama menampilkan dirinya sebagai seorang ilmuwan, jambatan antara Timur dan Barat, pejuang wacana peradaban.

“Pada tahun 1990-an, beliau menulis The Asian Renaissance, menggambarkan dirinya sebagai seorang pemikir yang memiliki kedalaman budaya yang hebat.

“Individu yang menggelar dirinya sebagai pakar budaya dan peradaban dunia kelihatan tidak menyedari bahawa Rusia merupakan negara majoriti Kristian Ortodoks di mana poligami adalah haram dan tidak diterima secara budaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu turut membidas Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamad Fadzil yang mendakwa Anwar merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama dalam dua dekad yang menerima penghormatan rasmi penuh di Rusia.

Jelasnya, kenyataan itu kemudian segera dipersendakan oleh masyarakat yang mempersoalkan mengapa tempoh dua dekad dipilih, seolah-olah mahu memadamkan fakta sejarah bahawa sambutan seumpama itu turut diberikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Sudah menjadi corak pentadbiran ini, kerajaan yang terlalu taksub dengan persepsi tetapi gagal dari segi isi dan ‘substance’. Seorang pemimpin yang sering mengingatkan dunia tentang tahap intelektualnya.

“Tetapi akhirnya melontarkan jenaka poligami secara sembrono di sebuah negara di mana amalan itu dilarang dan dipandang serong.

“Lebih menyedihkan, Putin dengan mudah ‘membuka pekung’ Anwar dengan mendedahkan apa yang berlaku secara peribadi, lalu membiarkan dunia mentertawakan Perdana Menteri kita.

“Akhirnya, di sebalik kemeriahan dan kata-kata manis diplomatik, terserlah satu realiti yang menyedihkan. Malaysia datang ke Moscow menuntut penghormatan, tetapi pulang dengan Perdana Menteri menjadi bahan ketawa di sidang media.

“Jadi, siapa yang ketawa akhirnya? Sudah pasti bukan kita. Dalam usaha memikat Kremlin, Anwar telah menjadikan negara kita bahan jenaka dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -