Adakah Kerajaan Pusat sedia sekat produk vape?

Puteri Nasyuhada Megat Mohamad Halim
- Advertisement -

KANGAR: Tindakan berani Kerajaan Negeri Perlis mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di negeri ini telah membuka satu lembaran baharu dalam usaha menangani krisis ketagihan nikotin dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan muda.

- Advertisement -

Langkah tersebut disambut penuh sokongan oleh pelbagai pihak, termasuk Ameerah Negeri Perlis menyifatkannya sebagai keputusan tepat pada masa yang sangat kritikal.

Ketua Ameerah Negeri Perlis, Puteri Nashuhada Megat Mohamad Halim berkata, larangan tersebut bukan sekadar keputusan pentadbiran, bahkan ia mencerminkan komitmen politik dan moral kerajaan negeri.

Khususnya jelas beliau dalam memelihara kesihatan rakyat serta menyelamatkan masa depan generasi akan datang daripada bahaya ketagihan bahan kimia berbahaya.

“Ameerah melihat langkah ini sebagai sesuatu yang amat wajar dan perlu dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain, malah kerajaan persekutuan juga wajar mengorak langkah yang sama,” katanya kepada Harakahdaily.

Vape: Antara realiti dan ilusi

Membicarakan serius masalah itu, beliau menyifatkan selama ini industri vape sering mempromosikan produk itu kononnya sebagai alternatif ‘lebih selamat’ kepada rokok konvensional.

Namun, dakwaan ini semakin dipertikaikan oleh pakar kesihatan dan pengkaji bebas apabila pelbagai bukti mula menunjukkan bahawa vape juga mengandungi bahan kimia berbahaya.

Antaranya seperti nikotin, formaldehid, bahan logam berat dan pelarut yang boleh menyebabkan kerosakan paru-paru serta gangguan neurologi, khususnya terhadap remaja yang sedang mengalami perkembangan otak.

Menurut Puteri Nashuhada, realiti di lapangan jauh lebih membimbangkan berbanding imej yang cuba digambarkan oleh pengeluar vape.

“Ramai dalam kalangan anak muda tidak sedar bahawa mereka sedang menghanyutkan diri dalam ketagihan yang sukar dipulihkan.

“Apa yang lebih menyedihkan, mereka terjebak seawal usia belasan tahun akibat pengaruh rakan sebaya, media sosial dan kemudahan mendapatkan vape secara terbuka termasuk dalam talian,” ujarnya.

Isu kesihatan dan ketagihan nikotin

Berdasarkan kajian kesihatan awam, ketagihan terhadap nikotin boleh menyebabkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal dan mental, malah turut mempengaruhi tingkah laku dan emosi.

Dalam kalangan remaja, ketagihan nikotin turut dikaitkan dengan kemurungan, keresahan melampau serta gangguan fokus dalam pembelajaran.

“Ini bukan lagi isu kecil. Kita sedang berdepan dengan satu bentuk krisis kesihatan awam yang jika tidak dibendung dari sekarang, akan menghancurkan potensi belia negara ini,” tegas Puteri Nashuhada.

Menurutnya, pengaruh negatif vape bukan sahaja terhad kepada aspek kesihatan, malah turut memberi impak terhadap sahsiah dan disiplin diri golongan muda.

Penggunaan berlebihan ujarnya, sering kali dikaitkan dengan perubahan tingkah laku, hilang tumpuan terhadap pelajaran, dan dalam kes tertentu menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan dadah yang lebih berat.

Perlukan sokongan menyeluruh

Justeru itu, Ameerah Negeri Perlis menyeru agar seluruh lapisan masyarakat tampil memberikan sokongan penuh terhadap dasar pengharaman ini.

Golongan ibu bapa, guru, pentadbir institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan perlu bekerjasama sebagai satu pasukan dalam membanteras budaya vape daripada terus merebak.

“Penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi jika tiada kesedaran bersama. Kita perlukan pendidikan kesihatan yang lebih menyeluruh, kempen kesedaran yang konsisten serta pendekatan bersepadu antara semua agensi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar kempen kesedaran diperhebatkan di sekolah-sekolah, kolej, universiti serta komuniti setempat melalui pendekatan mesra belia yang menekankan aspek tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

“Kita juga perlu bawa pendekatan Islamik, kerana kefahaman agama lebih mampu menyentuh hati dan memberi kesan jangka panjang berbanding sekadar larangan bersifat luaran,” tambah beliau.

Pendekatan Islamik dan maqasid syariah

Dalam hal ini, pihaknya turut menegaskan bahawa penggunaan vape jelas bertentangan dengan prinsip maqasid syariah yang menekankan kepentingan menjaga nyawa (hifz al-nafs) dan akal (hifz al-‘aql).

“Segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kemudaratan terhadap tubuh badan dan minda adalah haram di sisi Islam. Maka, penggunaan vape yang terbukti membawa pelbagai keburukan termasuk ketagihan, adalah bertentangan dengan ajaran Islam,” jelas Puteri Nashuhada.

Menurutnya lagi, pendekatan pencegahan yang berteraskan ilmu dan iman lebih mampu menghasilkan perubahan tulen dalam masyarakat di mana kefahaman agama, jika ditanam sejak awal, akan menjadi benteng kukuh menolak segala bentuk unsur memudaratkan diri.

Ameerah Perlis kekal komited

Sebagai sayap wanita muda dalam PAS, Ameerah Negeri Perlis menyatakan komitmen berterusan dalam memainkan peranan aktif menyebarkan kesedaran, pendidikan kesihatan serta advokasi komuniti terhadap isu vape.

“Kami akan terus melaksanakan pelbagai program pendidikan komuniti, bengkel, seminar dan forum bersama golongan belia. Dalam masa yang sama, kami juga akan menjalin kerjasama strategik bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan,” ujar beliau.

Selain itu, Ameerah turut menyeru agar Kerajaan Persekutuan lebih proaktif dalam merangka dasar nasional yang menyeluruh berkaitan vape.

Termasuk katanya, menyekat kemasukan produk dari luar negara, mengawal promosi tidak terkawal di platform digital serta menutup ruang jualan terbuka yang mudah diakses remaja.

“Remaja adalah aset negara. Jika tubuh dan minda mereka rosak akibat bahan kimia berbahaya ini, maka masa depan negara juga akan turut rosak,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2025

- Advertisement -