MB ucap takziah pemergian Yasuke Yoshika

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud merakamkan ucapan takziah keluarga Dato’ Yosuke Yoshioka atas pemergian bekas Pengerusi ROHM Wako itu semalam.

- Advertisement -

Beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf jasa dan sumbangan mendiang kepada pembangunan Kelantan ketika mengalas jawatan nombor satu dalam syarikat yang berpengkalan di Jepun itu.

“Takziah saya ucapkan kepada seluruh keluarga dan warga ROHM-Wako Electronics atas pemergian pengerusinya, Dato’ Yosuke Yoshioka dan ini merupakan satu kehilangan besar kepada kita.

“Beliau mempunyai sumbangan besar dalam memperkasakan ekonomi negeri melalui pelaburan dan peluang pekerjaan anak Kelantan,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook hari ini.

Hampir 3,000 rakyat di negeri itu mendapat peluang pekerjaan dengan syarikat multinasional itu sejak 30 tahun lalu yang beroperasi di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa dekat sini.

Malah kerajaan negeri dan rakyat berbangga dengan perkembangan yang dicapai oleh ROHM-Wako Electronics kerana turut bersama-sama dalam membantu perkembangan dan menjana sosio ekonomi penduduk. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -