Kelantan perkasa e-Tanah, ke arah negeri pintar

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited dalam memperkasakan sistem e-Tanah yang mencerminkan kesungguhan menuju pendigitalan urusan tanah secara menyeluruh.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha tersebut merupakan langkah penting ke arah meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, pelaksanaan sistem digital itu bukan sahaja mempercepatkan urusan berkaitan tanah, malah mengurangkan risiko ketirisan hasil serta salah guna kuasa.

“Langkah ini juga memberi kemudahan kepada rakyat untuk membuat semakan, permohonan serta menerima keputusan dengan lebih cepat dan telus,” ujarnya ketika diminta mengulas sistem e-Tanah yang bakal dilaksanakan.

Hala tuju tersebut memberi bayangan bahawa kerajaan negeri turut merancang melaksanakan program negeri pintar atau Smart State yang lebih menyeluruh pada masa akan datang.

Beliau menambah, program seperti itu kebiasaannya merangkumi integrasi sistem digital dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan, perbandaran, perkhidmatan awam dan pemantauan sumber asli.

“Ia secara langsung akan membantu meningkatkan hasil ekonomi dan pendapatan negeri melalui pengurusan data yang lebih cekap serta memperkukuh keyakinan pelabur terhadap sistem yang sistematik dan mudah diakses.

“Di samping itu, penggunaan sistem pintar dapat meminimumkan risiko manipulasi data dan salah guna kuasa, seterusnya meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap urus tadbir kerajaan negeri,” ujarnya lagi.
HARAKAHDAILY 15/5/2025

- Advertisement -