RUU URA satu penipuan, rakyat mesti bangkit tolak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Himpunan solidariti dijadual pada 24 Mei ini bukan dianjurkan oleh mana-mana parti politik, sebaliknya lahir daripada kebangkitan rakyat yang menuntut keadilan berhubung isu pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru.

- Advertisement -

Pengerusi Sekretariat Patriotik Rakyat, Zaharudin Muhammad berkata, himpunan itu adalah reaksi spontan terhadap kezaliman ke atas penduduk yang enggan menyerahkan tanah dan hartanah mereka, namun terpaksa akur kepada keputusan mahkamah.

“Banyak sebenarnya wartawan yang tanya saya, ‘siapa yang anjur?’. Saya kata rakyat, sebab saya tak tahu siapa yang turun sekarang, saya kata perlu berhimpun dan perlu protes.

“Jadi itu asas kepada himpunan ini, jadi bukan anjuran mana-mana tapi Insya-Allah kita akan tubuhkan Sekretariat supaya himpunan itu akan lebih tersusun dan menurut akta himpunan aman dan ini bukan himpunan haram,” katanya dalam sidang media di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini semalam.

Zaharudin turut hadir sebagai wakil Badan Bertindak Penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan dan difahamkan, kelmarin merupakan tarikh akhir bagi penduduk mengosongkan kediaman mereka.

“Untuk maklumat semua, semalam (kelmarin) adalah tarikh akhir mereka perlu keluar daripada rumah mereka. Saya cukup sedih sebenarnya, cukup sedih mereka dihalau.

“Sedangkan mereka tidak bersetuju, tidak mahu jual, tidak mahu serah harta dan juga kuasa tanah Melayu mereka, tapi mereka dipaksa melalui undang-undang yang boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan. Saya tak kata keputusan mahkamah salah ye.

“Tapi nak sampai ke mahkamah itu, banyak ruang-ruang yang boleh dimanipulasi disebabkan oleh kos yang tinggi dan peluang yang cukup banyak untuk mana-mana pihak yang mengaut keuntungan daripada kes dan juga isu ini,” katanya.

Zaharudin menyatakan bahawa isu Kampung Sungai Baru hanyalah permulaan kepada krisis yang lebih besar jika Rang Undang-Undang Pembangunan Semula Bandar (URA) diluluskan di Parlimen yang dijangka dibentangkan Jun ini.

“Selepas ini, isu URA akan dibawa ke Parlimen pada Jun nanti dan dijangka akan diluluskan kalau tanpa kesedaran dan bantahan rakyat. Saya nak bagi gambaran mudah.. kenapa perkara ini penting sebab kita mudah kena tipu,” katanya.

Beliau berkata, dalam perniagaan pun orang ramai boleh tertipu dengan tawaran komisen yang nampak besar sama seperti isu URA, nampak menarik tapi hakikatnya rakyat akan rugi besar.

“Apa maknanya? Dia cuba tipu kita nak bagitahu komisen dia besar, tapi realitinya satu peratus. Sama macam isu URA sebagai contoh. Orang kata dah berbuih dah mulut saya bagitau, perlu ditentang. Sama juga macam isu Kampung Sungai Baru, perlu ditentang. Jadi akhirnya apa yang berlaku?” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam daripada penduduk Kampung Sungai Baru yang terpaksa mengosongkan flat mereka baru-baru ini, namun menegaskan bahawa masih terdapat rumah teres yang belum dikeluarkan notis, dan perlu dipertahankan.

“Saya sampaikan salam daripada Puan Rafidah. Mereka semua letih sebab terpaksa kosongkan rumah semalam dalam keadaan sedih dan dua hari lepas pun saya turun dengan mereka bagi taklimat macam mana nak kosongkan dan macam mana nak tukar semua.

“Jadi hari ini flat dah ditamatkan dan terpaksa kita terima kenyataan bumi kita dijajah dan flat akan diroboh, tapi kita akan pertahankan baki rumah teres yang masih belum dikeluarkan notis untuk mereka kosongkan Insya-Allah,” katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun menyatakan solidariti pada 24 Mei, jam 2:30 petang di hadapan Sogo, Kuala Lumpur, sebagai tanda bantahan terhadap ketidakadilan dan pelaksanaan URA yang bakal menjejaskan banyak kawasan perkampungan bandar di seluruh negara.

“Kalau benda ini tak dihalang, URA ini akan bebas dilaksanakan, kesan URA semuanya akan nampak dan akan berlaku di seluruh tempat. Ini antara benda yang kita kena sedar, isu ini bukan isu Sungai Kampung Baru tapi isu ini adalah isu semua.

“Jadi kita mengisytiharkan Insya-Allah saya, NGO dan semua pengikut-pengikut saya berirkar untuk turun dan bawa seramai mungkin yang boleh pada 24 Mei ini jam 2.30 petang di Sogo,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -