
ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk campur tangan berkenaan isu pemilihan dalaman PKR.
Namun kata Ketua Pengarah Ameerah PAS itu, beliau terpanggil untuk memberi pandangan apabila nama pemimpin PAS cuba diselitkan pada kempen pemilihan parti berkenaan.
Beliau berterima kasih apabila data yang dikemukakan oleh Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli bahawa PAS pada masa ini paling dipercayai dalam soal menangani rasuah.
“Namun apabila nama Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor disentuh, kononnya ‘Sanusi karaoke’, ‘Sanusi tak pandai sangat’, ‘kena buang sekolah dua kali’, ‘tapi budak-budak Melayu kampung suka dia.’
“Dakwaan itu seolah-olah sukanya rakyat kepada Menteri Besar Kedah itu hanya atas faktor ketaksuban membuta tuli tanpa sebarang kelebihan lain. Oleh itu, saya mahu perbetulkan,” bidas beliau di media sosialnya, semalam.
Menteri berkenaan tegasnya, perlu celik mata melihat latar belakang pendidikan Sanusi yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya lagi, itu bermakna Sanusi mempunyai ijazah dan berpendidikan, malah ADUN Jeneri itu juga seorang yang berkebolehan serta dianugerahkan pangkat Laksamana Pertama daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya rasa Rafizi belum tahu, apa tindakan pro-rakyat yang Sanusi buat di Kedah sehingga dia disayangi dan dipercayai? Mai saya nak cerita.
“Beliau mempermudahkan pemberian geran tanah yang selama ini disusahkan. Hanya dalam tempoh tiga tahun awal pemerintahannya, lebih 7,233 geran tanah diluluskan kepada rakyat.
“Ini setakat 2023 sahaja, ada tambahan jumlah dari 2023 hingga 2025,” jelas beliau sebagai reaksi kepada kritikan dan sindiran Rafizi dalam Jelajah HIRUK diadakan Timbalan Presiden PKR itu.
Isu geran tahan itu tegas Mardhiyyah, bukanlah baharu tetapi telah lama dan permohonan tersebut juga telah melibatkan puluhan tahun lalu iaitu semasa kerajaan terdahulu lagi.
Mungkin katanya, birokrasi atasan menidakkan hak orang-orang kampung termasuk geran menjadi gula-gula politik yang ditawarkan semasa musim pilihan raya.
Maka tidak mustahil ujarnya, rakyat diperbodohkan ketika itu kononnya untuk memperolehi geran dengan perlu pastikan parti yang menerajui Kedah ketika itu diberi mandat pada pilihan raya seterusnya.
Namun Kedah di bawah pentadbiran Sanusi katanya, bukan sahaja meluluskan permohonan geran tanah yang tertunggak, tetapi juga menyediakan lot tanah untuk projek rumah kepada rakyat miskin yang tiada tanah.
“Sanusi menanggalkan watak kayangan apabila bersama rakyat dan tidak dikelilingi ‘bodyguard’ yang menyukar rakyat mendekati beliau. Tetapi yang uniknya, semua orang tahu seorang Menteri Besar pasti ada pengawal pengiring yang sentiasa waspada menjaga.
“Tetapi pegawal yang menjadi pengiring MB Kedah tidak kelihatan dan tidak menjadi ‘gap’ antara Sanusi dan rakyat. Apa agaknya perasaan rakyat melihat seorang Menteri turun ke bazar Ramadan dikelilingi polis beruniform? Ramai gila polis ‘escort’.
“Rakyat nak pi salam ka? Atau rasa takut? Atau rasa menyampah?” soalnya turut menyatakan bahawa rakyat sudah ‘terkena’ dengan pemimpin terdahulu di mana bicaranya lain, apabila memegang kuasa di hari pertama pembentukan kabinet sudah melanggar kata-kata sendiri.
Malah ujar Mardhiyyah, pemimpin itu sentiasa ada justifikasi mempertahankan apa yang suatu masa dahulu kononnya terpaling keras melawan termasuk juga pasukannya.
Oleh itu, tegasnya, tidak hairanlah, timbul di hati rakyat mahukan pemimpin yang berbeza dan apabila ada pemimpin yang membantah segala hipokrasi ini, dirasakan pula mewakili perasaan rakyat.
“Sanusi terkehadapan lantang menyerang watak dan perbuatan hipokrit ini, maka janganlah pelik bila dia dianggap ‘hero’. Kerajaan Madani pula ‘overkill’ menangani Sanusi menyebabkan dia meraih populariti lebih meluas.
“Tahan dan seret dia ke balai polis pukul 3 pagi memang mengarut la. Sanusi menegakkan agama walau tanpa watak ‘orang agama’, kerana dia orang PAS, dipilih oleh PAS dan mengemudi kepimpinan kerajaan dominasi PAS, maka PAS dasarnya Islam.
“Walaupun Sanusi tidak berkopiah dan tidak membawa watak asatizah, kewajipan yang dituntut agama tidak boleh lari daripadanya,” tegasnya lagi.
Dari segi peribadi ujarnya, Menteri Besar Kedah itu tidak bersalam dengan perempuan bukan mahram, berbeza dengan ramai pemimpin yang diangkat pengikutnya sebagai ‘Islamist’ tetapi menunjukkan watak kontradik mengelirukan.
Ada ketika ujarnya, pemimpin itu bersila menadah ilmu dengan ulama terkemuka, namun sering kali beliau bersalaman dengan wanita bukan mahram yang ditegah agamanya.
“Sanusi apabila mentadbir Kerajaan Negeri Kedah tidak lagi meneruskan pemberian lesen judi, kerana ini larangan jelas dalam Islam. Katanya ini adalah perintah Allah, maka beliau wajib laksanakan dan kenyataannya tidak berlapik-lapik atau apologetik.
“Dalam masa yang sama sebagai ketua kerajaan beliau tidak mahu institusi keluarga di Kedah rosak apabila ketua keluarga ketagih judi. Ketegasan kerajaan boleh membantu anak isteri yang menjadi mangsa ketagihan judi.
“Tetapi susulan keputusan itu, Kerajaan Negeri Kedah disaman namun Sanusi tidak berganjak dengan keputusan atas kepatuhan kepada perintah Allah,” kata beliau lagi.
Justeru itu kata beliau, rakyat melihat PAS tegas dalam menegakkan Islam yang menjadi dasar perjuangan, dan mana-mana pihak tidak boleh salahkan atau marahkan PAS apabila pemimpin PAS termasuk Sanusi semakin dipercayai.
Malah jelasnya lagi, Kedah di bawah pentadbiran Sanusi mampu bersaing dengan negeri-negeri maju lain sama ada segi pelaburan sehingga mencatat kedudukan ‘top five’ pelaburan tertinggi di Malaysia.
“Cukup lima alasan dulu, tidak perlu tulis semua dan terlalu banyak untuk menjelaskan kenapa rakyat suka Sanusi dan mempercayai PAS. Parti politik ada ‘base’ yang dijuarai, dan ia dinilai sama ada mematuhi atau tidak perjuangan yang dibawa.
“Bukan kerana Sanusi karaoke. Dia dah menang pilihan raya lebih awal sebelum orang tengok dia menyanyi. (Dan) kalian juga bukannya memilih untuk menyaingi dia dalam soal keputusan pro-rakyat, mengecilkan jurang dengan rakyat atau memperbetulkan hipokrasi.
“Alangkah baik kalau kalian memperbaiki isu-isu yang ada kaitan langsung dengan rakyat ini tetapi sebaliknya memilih pendekatan menekan dan menghina. Lalu semakin jauh dari realiti sebenar. Semakin menjauh dengan kemahuan rakyat di bawah,” bidasnya lagi.
Oleh itu nasihatnya, berkempenlah untuk pemilihan parti anda dan serlahkan lebih banyak lagi budaya politik ‘Machiavelli’ yang terselindung di sebalik istilah muluk-muluk reformis.
“Tetapi jika kamu menyentuh parti dan pemimpin PAS, saya akan bersuara,” tegas Mardhiyyah lagi. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











