
KANGAR: Inisiatif MyKiosk yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendapat sambutan hangat di negeri ini apabila mencatatkan antara permohonan tertinggi di seluruh negara dengan 90 unit telah diluluskan setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, hampir kesemua kiosk berkenaan telah beroperasi, kecuali tujuh unit yang masih belum digunakan sepenuhnya.
“Kita di Perlis antara negeri yang menerima banyak permohonan. Setakat ini, 90 kiosk telah diluluskan dan hampir semuanya telah terisi.
“Cuma tujuh kiosk sahaja masih belum digunakan sepenuhnya, antaranya terletak di sekitar Jalan Sena,” jelasnya dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Beliau menyeru lebih ramai peniaga, khususnya daripada golongan B40, agar merebut peluang ini kerana inisiatif tersebut bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, malah membantu penyusunan semula penempatan gerai jualan di tepi jalan secara lebih teratur dan berimej baik.
“Kita lihat ada kawasan yang nampak masih kosong kerana peniaga belum memulakan operasi walaupun kiosk telah diberikan. Kadang-kadang peniaga ini ‘on-off’ buka sekejap, tutup sekejap. Kita harap mereka ambil serius peluang ini,” ujarnya.
Menurut Asrul, antara keistimewaan MyKiosk ialah ia tidak dikenakan sebarang kos kepada peniaga, malah turut menawarkan pengecualian bayaran sewa selama enam bulan pertama.
“Ini peluang yang sangat baik. Enam bulan pertama percuma, kemudian kadar sewa hanya RM300 sebulan iaitu kira-kira RM10 sehari sahaja. Kita harap peniaga gunakan peluang ini untuk lipat gandakan usaha, buka gerai setiap hari dan bantu ekonomi keluarga,” katanya.
Tambah beliau, fokus utama kiosk adalah kepada perniagaan makanan dan minuman, di mana berpotensi menggantikan lambakan gerai tepi jalan yang sering kali menjadi punca kesesakan lalu lintas serta menimbulkan isu kebersihan dan keselamatan.
“Bila peniaga berniaga dalam kiosk, ia lebih tersusun, bersih dan selamat. Ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri mengindahkan kawasan bandar dan perniagaan,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Asrul menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan pemilikan kiosk seperti aktiviti ‘Ali Baba’, di mana kiosk disewakan kepada pihak ketiga tanpa kebenaran.
“Kalau berlaku kes seperti ‘Ali Baba’ dapat kiosk tapi disewakan kepada orang lain kita takkan benarkan. Lesen yang diberi adalah untuk individu yang memohon sahaja,” tegasnya.
Beliau berkata, walaupun sasaran utama adalah golongan B40, namun permohonan terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang benar-benar berhasrat untuk berniaga.
“Kita mahu bantu anak-anak muda, ibu tunggal, penganggur dan mana-mana individu yang mahu jana pendapatan sendiri secara sah dan berstruktur,” katanya.
Mengakui terdapat beberapa rungutan berhubung kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan tandas awam di sekitar kiosk, beliau memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa berhubung dengan KPKT untuk memperbaiki keadaan tersebut secara berperingkat.
“Kita tak nafikan ada kekurangan, tetapi yang penting peniaga kena mulakan dahulu. Kalau ada keperluan lain, kita akan cuba bantu,” ujarnya.
Asrul menyarankan agar semua penerima MyKiosk memainkan peranan dengan sebaiknya, termasuk membuka kiosk secara konsisten, menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kita mahu lihat kiosk ini hidup dan menjadi tumpuan orang ramai. Kalau semua peniaga buka secara konsisten, ia akan beri impak besar kepada ekonomi tempatan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











