
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sudah menguatkuasakan larangan menjual rokok elektronik atau vape sejak tahun 2015 di semua premis perniagaan di negeri ini.
Malah, kempen kesedaran mengenai bahaya rokok elektronik itu telah dimulakan lebih awal melalui pelancaran Kempen IKBAR sejak tahun 2012 sebelum larangan total dikuatkuasakan tiga tahun kemudian.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, kerajaan negeri turut memberi tempoh ‘bertenang’ selama dua tahun bermula 2013 kepada peniaga vape sebelum larangan sepenuhnya dikuatkuasakan.
Katanya, sejak itu tiada sebarang lesen atau kelulusan operasi penjualan vape dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.
“Sehingga kini, sudah 10 tahun kerajaan negeri tidak meluluskan lesen atau operasi jualan vape susulan penggunaan rokok elektronik yang membahayakan kesihatan.
“Keputusan ini dibuat kerana bahan tersebut memberi ancaman besar kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun ujarnya, masih terdapat premis menjual perisa vape secara haram dan berselindung di sebalik perniagaan lain yang diusahakan mereka termasuk melalui jualan dalam talian.
Hilmi berkata, usaha mengekang penjualan vape dibuat secara menyeluruh dengan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa.
Katanya, kerjasama turut melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut beliau, sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 16 premis telah disita hasil 10 operasi dijalankan di seluruh Kelantan.
“Tahun lepas, sebanyak 40 operasi membabitkan 67 premis disita di seluruh negeri. Ada antaranya dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan berulang,” jelasnya.
Beliau turut berharap agar penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Oktober ini dapat diperketatkan lagi.
Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri yang masih belum melaksanakan larangan penjualan vape supaya segera bertindak bagi melindungi generasi muda.
Pegawai Pendidikan CAP merangkap aktivis anti-rokok, NV Subbarow menyatakan kebimbangan apabila tabiat menghisap vape kini melibatkan kanak-kanak seawal usia lapan tahun hingga remaja berumur 16 tahun.
Baru-baru ini juga tular di aplikasi TikTok seorang pesakit jantung yang berkongsi nasihat terakhirnya sebelum meninggal dunia akibat komplikasi ketagihan vape.
Dalam video berdurasi enam minit itu, beliau menceritakan keadaan dirinya yang semakin tenat sehingga memerlukan bantuan oksigen dan menjalani prosedur menebuk paru-paru bagi mengeluarkan cecair kuning serta nanah.
Beliau turut memberitahu, sekurang-kurangnya empat orang pesakit lain yang ditahan bersama di wad meninggal dunia akibat ketagihan vape dan kesemua mereka masih muda. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











