Peristiwa 13 Mei 1969: Monumen berdarah untuk tatapan perih generasi

- Advertisement -

APABILA melihat pergeseran adab, keangkuhan atas nama etnik juga sikap tidak peduli menghormati penduduk asal, terselit ingatan tragedi 56 tahun lampau di kota raya Kuala Lumpur. Kepelbagaian kaum, agama dan budaya perlu ditangani dengan cermat. Ianya memerlukan iltizam politik penguasa serta tindakan tegas kepada individu yang meremehkan sensitiviti agama dan bangsa.

Era madani ini kita bergelut dengan pelbagai isu perlecehan terhadap agama dan bangsa sedangkan monumen sejarah kita terpahat peristiwa getir 14 hari pemerintahan Bintang Tiga; Sungai Manik Perak; Kampung Rawa; Kampung Medan, Petaling Jaya; dan serangkaian  peristiwa lain lagi.

13 Mei 1969 tetap relevan untuk diingati dan dicermati lekukan sejarahnya walaupun jumlah korbannya bukanlah mencecah puluhan ribu mangsa seperti tragedi  ‘ketupat berdarah’ di Kalimantan, Indonesia; pergaduhan etnik di Sittwe, Myanmar; konflik Singhalese – Tamil di Sri Langka; tragedi Fiji 1987 yang membawa rampasan kuasa Mejar Rabuka dan lain-lain pergeseran kaum.

Angka korban bergantung kepada kecekapan pihak keselamatan menguruskan konflik manakala pengajaran daripada tragedi wajib diberi perhatian.

- Advertisement -

Sejarah bukanlah sekadar untuk tatapan dan dihafal garis masa perjalanan dengan peristiwa, tokoh-tokoh dan asal muasal sesuatu peristiwa. Paling penting bagaimana untuk mengambil ibrah dan mengelakkan sesuatu yang buruk daripada berulang dan terus mengulangi kesilapan silam.

Hari yang suram ini kini genap 56 tahun berlakunya Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 yang merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia, simbol rapuhnya perpaduan kaum serta tipisnya tahap kesabaran jika provokasi isu kaum berterusan.

Tanggal 13 Mei 1969 telah berlakunya rusuhan kaum yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kecederaan, hilang rasa percaya dan kemusnahan  harta benda. Tragedi ini  mempunyai kaitan secara langsung dengan keputusan pilihan raya umum 1969, lonjakan pengaruh parti cauvinis Cina serta hilang majoriti dua pertiga parti PERIKATAN di DUN Selangor. Faktor hiliran yang lain juga agak rencam menjadi motor pencetus kejadian.

Negara ini dipecah perintah oleh penjajah British dengan dasar pengelompokan etnik sehingga terpisah melalui identiti sosio budaya. Orang Cina menetap di kawasan lombong bijih dan pekan-pekan, orang India di ladang-ladang getah, manakala orang Melayu terpuruk di kampung-kampung. Mobiliti sosial juga berbeda, kaum Cina melangkah jauh ke hadapan manakala kaum Melayu sebagai tuan rumah dibiarkan miskin dan kurang pendidikan.

Penjajahan Jepun juga semakin melebarkan jurang sosio budaya, integrasi antara kaum hancur apabila Jepun membantai etnik Cina dan mengupah kempetai dan Tekikan daripada bangsa Melayu. Pemerintahan Bintang Tiga pasca penjajahan Jepun telah mengesahkan bahawa hubungan antara kaum di Tanah Melayu sangat rapuh dan nipis.

Peristiwa 13 Mei adalah mercu tanda kegagalan hubungan komunal negara ini. Banyak faktor mengapa terjadinya 13 Mei 1969; di antara faktor yang memicu tragedi ini ialah  berikutan pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 10 Mei 1969.  Parti-parti pembangkang bernuansa perjuangan kaum Cina telah menang besar di kawasan-kawasan dalam Kuala Lumpur. Saat itu kerusi-kerusi konstitusi di Kuala Lumpur berada dalam DUN  Selangor. Penyokong-penyokong pembangkang sangat teruja bahkan lupa diri seketika akibat kemenangan dalam pilihan raya.

Parti pembangkang bertunjang kaum Cina telah meminta kebenaran pihak polis untuk mengadakan  perarakan bagi  meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan kedudukan getir parti pemerintah di Selangor. Laungan provokatif menggema di langit Kuala Lumpur, bandar yang dimajukan oleh Sutan Puasa, Haji Abdullah Hukum serta peranan Yap Ah Loy. Perarakan kemenangan victory parade pilihan raya tersebut telah menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Ada yang sinis, terbakar perasaan, tersulut api dendam dan kemarahan mula menjalar serta membakar perasaan.

Dalam catatan beberapa sumber sejarah,  perarakan yang majoriti oleh etnik bukan Melayu itu telah bergerak sehingga ke Jalan Campbell, juga Jalan Hale dan menuju ke Kampung Baru yang merupakan titik tumpuan orang Melayu di Lembah Klang yang mana kawasan Melayu yang dibangunkan pada tahun-tahun 1890-an ini juga terletaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Harun Idris. Beliau pemimpin karismatik dan juga mempunyai pengikut yang ramai.

Perarakan kemenangan sebagai pencetus provokasi besar yang membakar kemarahan kaum Melayu, sebahagian etnik Cina yang berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi di Kuala Lumpur. Jeritan, makian, sumpah seranah adalah ramuan mujarab bagi dua pihak yang semakin menipis kesabaran.

Orang-orang Melayu berkumpul di rumah Menteri Besar Selangor di Jalan Raja Muda Abdul Aziz di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Dato’ Harun Idris selaku Menteri Besar Selangor ketika itu cuba mententeramkan keadaan agar tidak berlaku sesuatu yang buruk. Mereka yang berkumpul telah membawa senjata pedang dan parang panjang. Khabar angin menjalar dengan pantas dan semakin memburukkan keadaan.

Ketika berkumpul dalam keadaan bersemangat itu, bergentayangan cerita-cerita tentang kebiadapan segelintir orang Cina  tersebar dan memulakan babak-babak rusuhan. Tragedi tercetus dengan Kuala Lumpur mula menjulang asap dan api kemarahan, pembunuhan dan keadaan yang panik mewabak dengan pantas. Kuala Lumpur tidak terkawal, maka perintah berkurung diadakan oleh kerajaan dan juga Majlis Keselamatan Negara telah ditubuhkan di bawah Tun Abdul Razak sebagai Pengarahnya.

Tragedi 13 Mei yang mengorbankan nyawa memberikan banyak pengajaran kepada negara kita, namun semakin lama jarak masa maka ianya semakin dilupakan terutamanya oleh generasi muda dan pemimpin yang bertunjangkan etnosentrisme.

Lebih setengah abad lalu, negara ini pernah bersimbah darah; Kuala Lumpur pernah terbakar dengan noda politik komunal yang parah. Keharmonian dan keseimbangan politik dirubah semula dengan penubuhan Barisan Nasional yang menyaksikan penyertaan PAS dan banyak parti komponen yang lain.

Dasar Ekonomi Baru digubal untuk merapatkan jurang ekonomi Melayu dan bukan Melayu. Langkah-langkah pencegahan diatur untuk mengekang suara perkauman kerana negara berbilang kaum ini sangat rapuh kesepakatan kaum.

Jauhi pemimpin chauvinis dan yang tidak menghormati kontrak sosial negara ini. 13 Mei akan berulang kembali jika kita tidak bercermin dengan sejarah lalu. Era ini intimidasi, penodaan hak, arogansi pemilikan kuasa semakin menyerlah.

Naratif sejarah tanah leluhur ini mulai diubah kononnya tidak ada Tanah Melayu melainkan British yang mula memperkenalkan jenama Tanah Melayu. Penjarahan tanah rezab Melayu bahkan bertukar milik dengan mudah sebagaimana yang berlaku di Perak, perompakan tanah seperti yang berlaku di Pahang bahkan jika Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) dilaksanakan, orang Melayu akan terusir secara sistematik dari lahan kota raya dan bandar-bandar lain.

Pelbagai keistimewaan orang Melayu pun semakin ditarik perlahan-lahan demi undi dan perkongsiaan kuasa politikus pragmatis liberal. 13 Mei 1969 adalah cermin pengajaran betapa rapuhnya hubungan komunal dalam negara ini.

Peribumi sewajibnya bersatu menjaga hak mereka bukannya menjual dengan harga yang murah untuk secubit kuasa. Fikirkanlah!

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -