Hak peribumi kian terhakis, bangsa lain makin berani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu campur tangan bukan-Islam dalam hal ehwal agama Islam serta penghakisan hak peribumi Melayu semakin membimbangkan, kata Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman.

- Advertisement -

Beliau berkata, golongan bukan-Islam kini bukan sahaja semakin berani mencampuri urusan agama Islam, malah turut bersuara lantang dalam Parlimen berkenaan perkara-perkara yang sepatutnya menjadi ruang bicara umat Islam sendiri.

“Dia pula nak masuk dalam kita punya komuniti. Kita tak pernah kacau dia punya agama, kita tak pernah sebut dia punya agama dalam rancangan-rancangan kita, tapi dia masuk campur dalam semua hal ehwal agama Islam padahal kita ini peribumi.

“Sepatutnya kita yang bersuara, malah dia pula yang lebih bersuara dalam agama Islam dan di Parlimen dia pula yang juga bersuara tentang agama Islam dan di mana perginya kita punya pemimpin pemimpin yang beragama Islam? Mana perginya kita punya mufti dan juga agamawan?

“Kenapa tidak halang mereka daripada berterusan membuat kacau-bilau di dalam agama kita dan mengganggu-gugat dalam kedudukan kita? Jadi itu yang kita nak ketengahkan. Kenapa kerajaan tidak ambil iktibar dan tidak ambil sesuatu tindakan?” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Menara Centara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini semalam.

Zaharah turut membangkitkan isu tanah di Raub yang menurutnya telah dimenangi oleh masyarakat tempatan, namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Beliau berkata, wujud amalan ‘double standard’ apabila kesalahan oleh warga tempatan dikenakan hukuman berat, manakala tindakan terhadap warga asing yang menceroboh tanah dilihat longgar.

“Kenapa tak dibuat sama rata? Keadilan? Kononnya keadilan, tapi di sini kita tengok ‘double standard’ dan veteran yang semua orang dah tahu, yang veteran boleh tahan tak silap saya dikenakan dua tahun sahaja dan RM50,000 denda.

“Yang dibuat warga asing dah berpuluh-puluh tahun. Tak akan pejabat tanah tak tahu, tak kan pejabat tanah tak nampak, sebab tu bila kita dah menang, diberi lagi peluang. Sampai ke hari ni tidak diambil tindakan, tidak ditangkap, tidak dimasukkan penjara dan tidak didenda. Kalau orang kita buat, seperti kilat.

“Tapi kalau warga asing buat semua diberi pelepasan, pelepasan yang berlebih-lebihan. Dah la diberi pelepasan, diberi lagi imbuhan, tanah yang mahal dan gantian tanah yang mahal. Jadi di situlah sekarang ini kita nak ambil keadilan. Bangkitkan balik kita punya hak untuk membela,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyentuh isu kos sara hidup yang semakin tinggi serta bantuan kerajaan yang semakin berkurang berbanding bantuan terdahulu seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kita kena bangkit, kita kena beri tahu kerajaan hari ini cukup cukuplah menindas peribumi Melayu. Di dalam segala ucapan mereka kononnya mereka membuat bermacam-macam untuk peribumi Melayu tapi kalau kita tengok zahirnya, ada ke tidak?

“Seperti kita dapat semasa BR1M dulu, BR1M dulu jauh lebih baik dan jauh lebih banyak berbanding dengan hari ini, punya sedikit orang yang dapat dan sedikit dia punya jumlah nilai kepada orang miskin,” katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh masyarakat Melayu untuk berhimpun secara aman pada 24 Mei ini di Dataran Sogo, Kuala Lumpur, sebagai tanda solidariti dan kebangkitan menuntut keadilan.

“Datanglah beramai-ramai, pakai baju putih sebagai simbol kesepakatan. Kita kena tunjuk kepada kerajaan bahawa kita ada maruah dan kita bersatu demi mempertahankan hak kita sebagai peribumi,” katanya.

Zaharah turut menegaskan bahawa perjuangan ini merentas parti politik dan perbezaan pandangan dan menyeru semua badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat untuk bersatu demi mempertahankan tanah warisan nenek moyang bangsa Melayu. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -