
KUALA TERENGGANU: Insiden kemalangan yang mengorbankan seekor anak gajah di Jalan Raya Timur–Barat bukan sahaja menyentuh hati rakyat, malah mencerminkan realiti konflik yang berlaku antara manusia dan hidupan liar.
Dato’ Dr Azman Ibrahim menyeru masyarakat supaya tidak mudah meletakkan kesalahan semata-mata pada pembangunan atau manusia, sebaliknya memahami punca sebenar yang membawa haiwan liar keluar dari habitat asal mereka.
“Kita sedih dan sangat simpati dengan ibu gajah yang kehilangan anak dalam kemalangan tragis. Tetapi kita perlu rasional antara kepentingan pergerakan manusia dan kehidupan gajah. Manusia perlu bergerak untuk mencari kehidupan dan gajah juga perlu hidup.
“Ada ketikanya berlaku konflik yang tak dapat dielakkan. Konflik ini perlu diurus dengan bijak. Tiada siapa yang inginkan kemalangan berlaku. Tentu sekali amat menyedihkan bila berlaku tragedi yang meragut nyawa sesama makhluk Allah.
“Tapi janganlah sampai kita memberikan reaksi di luar batasan,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu itu.
Terdahulu, media melaporkan situasi menyayat hati seekor gajah betina seakan ‘meratapi’ kematian anaknya yang dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, berlaku apabila anak gajah berkenaan melintas tiba-tiba.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian jam 2.50 pagi, yang mana gajah jantan berkenaan dikatakan keluar dari hutan di kiri bahu jalan.
Mengulas lanjut Azman berkata, masih terdapat tanggapan awam yang menyalahkan sepenuhnya aktiviti manusia atas kejadian seperti ini, sedangkan faktor yang membawa gajah ke kawasan penempatan turut melibatkan perubahan corak makanan dan ekosistem.
“Dalam konteks Negeri Terengganu, jumlah keluasan hutan simpan kekal (HSK) masih pada paras 42 peratus dari keluasan negeri. Inilah standard kebangsaan yang ditetapkan untuk Terengganu. Ianya memadai untuk habitat kira-kira 200 ekor gajah sebagaimana data dari Jabatan Perhilitan.
“Tapi kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian gajah ini keluar bagi mendapatkan sumber makanan mudah dari kebun dan ladang,” katanya.
Menurut Dato’ Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, langkah pemuliharaan bukanlah sesuatu yang mudah atau murah.
“Santuari Gajah Tasik Kenyir Hulu Terengganu, Santuari Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu dan Taman Negara Tasik Kenyir disediakan sebagai habitat pemuliharaan gajah. Jutaan ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk jaga gajah.
“Dalam konteks Jalan Raya Timur – Barat yang melalui Hutan Taman Negara Royal Belum, sebenarnya hutan di Taman Negara ini sudah cukup luas sehingga mencapai keluasan 128,277 hektar.
“Realitinya gajah yang menjadikan Royal Belum sebagai habitat sudah biasa dengan manusia dan sering menjadikan Jalan Timur – Barat sebagai laluan,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 13/5/2025











