Presiden PAS rakam takziah keluarga anggota FRU

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada seluruh keluarga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam nahas jalan raya tragis di Teluk Intan, pagi ini.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kehilangan sembilan wira negara dalam satu insiden menyayat hati merupakan satu berita duka yang menggetarkan hati rakyat Malaysia.

- Advertisement -

“Mereka adalah barisan hadapan yang telah berkhidmat untuk keamanan dan keselamatan negara, dan pengorbanan mereka sangat besar nilainya di sisi masyarakat dan agama.

“Saya mendoakan agar semua keluarga mangsa diberi kekuatan, ketabahan dan reda menerima ujian ini, dan semoga roh para anggota yang terkorban ditempatkan dalam kalangan para syuhada’ dan orang-orang yang beriman.

“Buat mereka yang sedang dirawat akibat kecederaan, semoga dikurniakan kesembuhan yang sempurna dan dipermudahkan segala urusan pemulihan.

“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita akan kembali. Al-Fatihah buat semua wira negara yang telah pergi,” ujar beliau dalam satu kenyataan petang ini.

Kemalangan tersebut membabitkan trak FRU dari Ipoh dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, dalam kejadian sekitar jam 8:51 pagi ini.

Trak FRU itu yang membawa 18 anggota dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.

Trak FRU tersebut difahamkan dirempuh dari hadapan oleh lori muatan batu yang dipercayai mengalami kegagalan fungsi stereng.

Sembilan anggota dilaporkan meninggal dunia, manakala sembilan lagi cedera termasuk ada yang parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Teluk Intan. – HARAKAHDAILY 13/5/2025

- Advertisement -