
DEWAN Muslimat PAS Malaysia (DMPM) memandang serius akan isu kenaikan tarif ekonomi yang menjadi topik perbincangan hangat di peringkat global, khususnya kesan daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. Konflik ini telah mencetuskan peningkatan kos barangan, gangguan kepada rantaian bekalan, serta ketidaktentuan pasaran yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian rakyat, termasuk wanita.
DMPM juga mengikuti dengan teliti Sidang Khas Parlimen yang berlangsung pada 5 Mei 2025, di mana pelbagai isu penting dibincangkan. Kami menghargai usaha Ahli Parlimen PAS yang terus membawa suara rakyat ke Dewan Rakyat, khususnya dalam membincangkan kesan tarif ekonomi global terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia.
Dalam menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup, DMPM menekankan peranan penting wanita sebagai pengurus ekonomi keluarga. Wanita perlu tampil bijak dan strategik dalam mengurus perbelanjaan rumah tangga.
Antara langkah yang disarankan ialah memahami hak pengguna agar dapat membuat pilihan yang bijak semasa membeli barangan keperluan, mengamalkan gaya hidup berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta mengelakkan pembaziran, dan memanfaatkan teknologi seperti aplikasi perbandingan harga dan platform jualan dalam talian bagi menjimatkan kos.
DMPM turut menyeru pihak kerajaan agar mengambil langkah-langkah proaktif bagi membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi semasa.
Antara cadangan termasuklah memastikan harga barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung kekal stabil, serta memperluaskan bantuan kewangan yang memfokuskan kepada golongan wanita B40, ibu tunggal, dan keluarga berpendapatan rendah.
DMPM juga menyarankan agar lebih banyak sokongan diberikan kepada usahawan wanita melalui penyediaan bantuan modal tanpa faedah untuk perniagaan kecil dan mikro.
Selain itu, DMPM menggesa agar kerajaan mengadakan perbincangan dua hala bersama pemain industri dan usahawan dalam merangka strategi pemulihan ekonomi serta penurunan harga barangan.
DMPM juga mencadangkan penubuhan pasukan petugas (task force) ekonomi di peringkat negeri yang berfungsi secara pantas dan berkesan bagi menjamin kestabilan ekonomi tempatan.
Dalam masa yang sama, DMPM menekankan keperluan penubuhan sebuah Jawatankuasa Tindakan Khas oleh Kerajaan Persekutuan yang melibatkan penyertaan daripada pihak pembangkang dan kerajaan negeri bagi menangani isu tarif ini secara menyeluruh dan inklusif.
Dalam apa jua keadaan, wanita tidak boleh berputus asa. Sebaliknya, mereka perlu lebih bijak, berani dan berdaya tahan dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini.
Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan dan ketabahan kepada seluruh wanita Malaysia dalam menghadapi situasi yang mencabar ini.
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 8/5/2025











