
KUALA KEDAH: “Harap bersabar dan banyakkan berdoa kepada Allah, supaya dikuatkan semangat,” titip Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rashidi Razak menyantuni isteri individu yang ditemui maut di Gunung Keriang, lewat petang semalam.
Beliau bersama beberapa pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyatnya (PKWR), menemui isteri dan keluarga mangsa di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, ketika menanti mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat.
Mangsa yang merupakan penduduk Kampung Alor Madi, mendaki Gunung Keriang secara solo selepas Asar, sebelum dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri.
Terdahulu, Komander Operasi Kanan Zon 1 Kota Setar, Penguasa Bomba Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 6:15 petang, semalam.
Jelasnya, operasi mendaki mencari dan menyelamat dijalankan sebaik sahaja maklumat berkenaan diterima dan mangsa berjaya dibawa turun dengan kebenaran polis dan tiba di kaki gunung pada pukul 9:36 malam tadi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya juga mengesahkan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di puncak Gunung Keriang.
Walau bagaimanapun katanya, tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa dan mangsa dipercayai telah mendaki gunung itu seorang diri.
“Punca kematian masih belum dapat dipastikan sehingga laporan bedah siasat diperolehi kelak. Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mendatangkan kegusaran kepada ketenteraman awam,” tegas beliau lagi.
Berikutan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian boleh tampil ke IPD Kota Setar atau menghubungi pihak polis ditalian 04-7747222. – HARAKAHDAILY 8/5/2025











