
KUALA TERENGGANU: “Tarbiah PAS tidak menjanjikan pujian, tetapi mengajar kita erti sabar dan setia walau tidak disorak,” kata ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi ketika mengenang kembali perjalanan awal beliau dalam perjuangan parti.
Menurut beliau, pembabitan dalam PAS bermula sejak di bangku sekolah menengah apabila beliau menjadi perwakilan Pemuda Cawangan Bukit Chatak 2 ke Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun ketika berada di tingkatan lima.
“Saya tidak pernah lupa bagaimana saya dibentuk oleh tarbiah PAS dan saya yakin, PAS tidak pernah lupa legasi Almarhum Tuan Guru Fadzil Noor.
“Saya masih ingat, detik pertama saya benar-benar melibatkan diri dalam jemaah, waktu itu, saya cuma anak muda biasa, tapi dari situ saya mula faham erti berjamaah, erti berkorban dan erti berjuang bukan kerana nama.
“Kemudian saya ikuti Daurah Tadribiyah Pemuda PAS Negeri Terengganu, disampaikan oleh Almarhum Ustaz Harun Taib. Di situ saya kenal apa itu maudhu’ dakwah, apa itu ujian perjuangan, apa itu ibtila’ sebagai harga kepada istiqamah,” katanya.
Menurut Fakhruddin, pengalaman tarbiah yang diterima terus dibawa hingga ke Mesir semasa menuntut ilmu, beliau kekal komited menyumbang dalam program pembinaan mahasiswa agama dan perubatan.
“Tarbiah itu saya bawa hingga ke Mesir. Dalam kesibukan menuntut ilmu, saya tetap istiqamah mengisi program pembinaan mahasiswa agama dan perubatan.
“Kerana saya percaya, tarbiah ini bukan hanya membentuk kita menjadi ahli, tetapi menjadikan kita abdi kepada perjuangan Islam, bukan kepada tokoh, bukan kepada populariti,” katanya.
Mengulas kenyataan sesetengah pihak yang mendakwa PAS melupakan legasi Almarhum Tuan Guru Fadzil Noor, beliau menyifatkan tuduhan itu sebagai dangkal.
“Hari ini, bila ada yang berkata PAS melupakan legasi Tuan Guru Fadzil Noor, saya hanya mampu tersenyum. Kerana legasi itu bukan sekadar nama untuk dijulang di pentas politik.
“Tapi roh perjuangan yang masih mengalir dalam jiwa-jiwa pejuang yang terus thabat dalam jemaah, biar tidak dipuji, asalkan tidak berpaling. Yang pernah duduk dalam tarbiah PAS, pasti akan faham.
“Yang hanya memerhati dari luar, mungkin hanya mampu menilai pada zahirnya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/5/2025











