
KOTA BHARU: Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong terus memperhebatkan peranannya sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan dan menyalurkan inisiatif kerajaan negeri kepada rakyat.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman menegaskan bahawa penghulu sebagai ejen kerajaan yang rapat dengan warga perlu lebih peka terhadap segala masalah dihadapi oleh penduduk setempat.
“Penghulu sebagai ejen kerajaan yang rapat dengan rakyat perlu peka dengan segala masalah yang dihadapi oleh rakyat dan sentiasa berusaha untuk mencari penyelesaian yang terbaik,” katanya dalam Mesyuarat PKD Bunut Payong bersama para penghulu.
Dalam mesyuarat tersebut, beberapa agenda penting dibincangkan, antaranya pembaikan jalan kampung, baik pulih rumah, serta pembinaan kediaman baharu untuk golongan asnaf dan dhuafa’.
Shaari turut menegaskan bahawa semua kakitangan pejabat dan para penghulu perlu memainkan peranan aktif bagi memastikan PKD Bunut Payong terus unggul dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk kesejahteraan rakyat.
“Saya mahu semua kakitangan pejabat serta para penghulu memainkan peranan masing-masing secara aktif, agar PKD Bunut Payong terus unggul dan menjadi contoh terbaik di negeri Kelantan,” tambahnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Pembangunan DUN, Faris Basir, dalam taklimatnya memaklumkan bahawa beberapa projek pembangunan akan dilaksanakan mengikut peruntukan kerajaan negeri.
Jelas beliau, ia termasuk program berbentuk kemasyarakatan seperti bantuan pertanian, penglibatan belia, sukan dan pelbagai inisiatif bermanfaat.
Mesyuarat tersebut juga membincangkan perancangan awal bagi pelaksanaan Program Bina Ummah (PBU) yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun nanti.
Program ini adalah inisiatif pembinaan insan kerajaan negeri Kelantan, yang diwajibkan diadakan di setiap DUN negeri Kelantan, melibatkan tiga mukim. – HARAKAHDAILY 7/5/2025











