
KANGAR: Seorang aktivis Dewan Muslimat PAS yang pernah aktif dalam gerak kerja parti di peringkat negeri dan kawasan menerima sumbangan kerusi roda daripada Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bintong, hari ini.
Maria Abu Hassan, 49, kini terlantar akibat penyakit kanser sejak tiga tahun lalu, menerima kunjungan ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail, yang menyampaikan sendiri sumbangan berkenaan di kediamannya di Kampung Batu Pahat, di sini.
Menurut Fakhrul Anwar, Maria merupakan salah seorang ahli Muslimat yang sangat komited suatu ketika dahulu dan sering memegang peranan penting dalam menjayakan program-program anjuran PAS.
“Beliau pernah menjawat jawatan Bendahari Dewan Muslimat PAS dan sering menjadi tulang belakang dalam penyediaan makanan bagi setiap program yang dianjurkan di peringkat negeri, kawasan mahupun cawangan.
“Kita amat menghargai sumbangan beliau selama ini dan hari ini kita hadir bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi juga untuk memberikan sokongan moral kepada beliau,” katanya.
Tambahnya lagi, Pusat Khidmat DUN Bintong sentiasa peka terhadap keperluan penduduk setempat, khususnya mereka yang diuji dengan masalah kesihatan dan memerlukan bantuan peralatan perubatan.
Katanya, pemberian kerusi roda itu diharap dapat membantu memudahkan urusan harian Maria, termasuk bergerak di sekitar rumah dan menjalani rawatan secara berkala.
Sementara itu, Maria yang kelihatan ceria dan terharu menerima kunjungan tersebut, menyatakan penghargaan atas keprihatinan wakil rakyat dan rakan-rakan seperjuangan.
“Walaupun saya kini sudah tidak mampu aktif seperti dahulu, hati saya masih bersama perjuangan PAS. Saya bersyukur kerana masih diingati,” ujar beliau dalam nada sebak.
Turut hadir dalam penyerahan tersebut ialah Ahli Majlis DUN Bintong, Azizi Sham Samsudin.
Program ziarah ini merupakan sebahagian daripada agenda kebajikan berterusan Pusat Khidmat DUN Bintong yang memberi tumpuan kepada keperluan warga emas, pesakit kronik serta golongan memerlukan.
Fakhrul Anwar turut mengajak masyarakat untuk sentiasa cakna dan prihatin terhadap jiran tetangga yang sedang diuji, kerana nilai kasih sayang dan ukhuwwah adalah teras kepada kekuatan masyarakat.
“Insya-Allah, selagi diberi amanah, kami akan terus berusaha untuk menyantuni rakyat dalam pelbagai keadaan, sama ada melalui program rasmi mahupun pendekatan ziarah sebegini,” katanya lagi.
Sumbangan seperti ini ujarnya, bukan sahaja memberi manfaat praktikal kepada penerima, malah menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus tabah menghadapi ujian hidup. – HARAKAHDAILY 7/5/2025











