
ARAU: Kerajaan Negeri Perlis komited dalam menyantuni anak-anak negeri yang berjasa kepada negara agar semangat mereka dalam bidang diceburi terus diperteguh.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri sehubungan itu meluangkan masa menziarahi atlet kebangsaan kelahiran Perlis yang menetap dan menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara, semalam.
Lawatan penuh mesra Ustaz Mohd Ridzuan Hashim itu bukan sahaja menyuntik semangat buat para atlet, malah menjadi simbol sokongan moral berterusan daripada kepimpinan negeri.
Bagi kepimpinan negeri, para atlet tersebut adalah insan-insan yang berperanan penting mengharumkan nama Perlis di persada sukan tanah air dan antarabangsa.
ADUN Guar Sanji itu dalam pertemuan tersebut menyampaikan pesanan dan dorongan agar mereka tidak patah semangat dalam mengejar kecemerlangan, di samping menjaga disiplin dan nilai murni sebagai atlet Muslim.
“Anak-anak Perlis yang berjuang di pentas sukan kebangsaan adalah aset negeri dan negara. Kita mahu pastikan kebajikan mereka terpelihara dan semangat mereka tidak luntur. Kejayaan mereka adalah kebanggaan kita bersama,” katanya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.
Turut serta, Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis, Mohd Azraai Zain Tusimin dan beberapa pegawai sukan negeri.
Dalam suasana penuh kekeluargaan itu, para atlet turut berkongsi cabaran serta harapan mereka terhadap sokongan berterusan daripada negeri dalam aspek fasiliti, latihan dan peluang kerjaya selepas persaraan.
Delegasi MSN Perlis diketuai Ustaz Ridzuan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Vellapandian Ponnusamy, serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Suhardi Alias.
Pertemuan strategik itu berlangsung di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, dan memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting berkaitan pembangunan sukan negeri.
Antaranya termasuk kebajikan dan kesejahteraan atlet, penambahbaikan kemahiran pegawai sains sukan di Perlis, serta pemantapan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bagi membina ekosistem pembangunan atlet yang holistik.
Menurut Ustaz Ridzuan, antara tumpuan utama kerajaan negeri kini adalah memastikan persatuan-persatuan sukan di Perlis ditransformasi agar lebih berdaya saing, tersusun dan profesional dalam pengurusan serta pentadbiran.
“Kita tidak mahu persatuan sukan hanya aktif atas kertas. Kita mahu ia menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat di peringkat akar umbi dan melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang boleh pergi jauh,” ujarnya.
Dalam sesi bersama Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), perbincangan tertumpu kepada strategi memperkasa struktur organisasi sukan di negeri, termasuk aspek pematuhan perlembagaan, latihan tadbir urus dan peranan penyeliaan yang lebih sistematik.
Delegasi MSN Perlis turut disertai beberapa pegawai kanan sukan negeri serta wakil-wakil teknikal, mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk membina jalinan erat dan kerjasama strategik jangka panjang dengan badan-badan sukan peringkat kebangsaan.
Lawatan kerja sehari itu ujarnya, sebagai langkah signifikan dalam memposisikan Perlis sebagai sebuah negeri yang serius dan proaktif dalam memajukan bidang sukan demi manfaat generasi muda dan pembangunan negeri secara keseluruhan. – HARAKAHDAILY 6/5/2025











