Memori Markas Tarbiah Taman Melewar, Ustaz Fadzil Noor dan keseronokan ukhuwah

- Advertisement -

MENELUSI lorong-lorong di Taman Melewar seolah memugar kembali kenangan tiga dekad lampau saat bermukim di banir kota raya yang tidak pernah tidur walau sesaat. Kota raya dengan sejuta tarikan menebar pesona, pancaran lampu neon, pesta lampu merah seawal pagi ditutup kemacetan kemuncak di waktu sore bandar raya dengan sejuta wajah.

- Advertisement -

Kuala Lumpur tidak seburuk lorong belakang mati yang menternak kuman HIV, dilahannya juga ada ribuan para asatizah serta ilmuan yang berkongsi ilmu. Masjid-masjid dan surau-suraunya jauh menandingi masjid dan surau di kampung-kampung kerana keimarahannya dengan bervariasi program mengislah masyarakat.

Kuala Lumpur tidak betah dengan program memandaikan umat walau pesta pora maksiat tetap menjadi inti yang menarik nafsu serakah manusia. Lebih tiga dekad dahulu, pendatang asing jarang muncul berjemaah, manakala jajaran penempatan setinggan orang Melayu menjadi sebahagian kanvas kehidupan yang melengkapkan visual kota raya yang dibuka oleh Sutan Puasa, seorang saudagar berketurunan Mandailing dari Sumatera.

Kampung Abdullah Hukum di Bangsar merupakan salah satu perkampungan Melayu yang pertama di Kuala Lumpur dan dibuka oleh Abdullah Hukum kira-kira 200 tahun yang lalu. Begitu jugalah dengan Kampung Batu di Batu 5, Jalan Ipoh. Kampung ini yang menjadi asas kepada Parlimen Batu, telah diuar-uarkan oleh anak-anak tempatan sebagai telah dibuka lebih seratus tahun yang lalu oleh Muhammad Arif, seorang alim berketurunan Minang Cubadak dari Sumatera. Namun, etnik Cina akhirnya menjadi dominan di Kuala Lumpur selepas kedatangan British, menggali lombong bijih timah seterusnya menyusun ruang perkedaian dengan bantuan British.

Kota raya ini dalam gelembung pengupayaan ekonomi negara, turut menyaksikan kerancakan program dakwah dan kemeriahan program amal Islami. PAS beribu pejabat di tengah kota ini, gerakan Darul Arqam menggerakkan kantung ekonomi, jamaah Tabligh bermula di Masjid India seterusnya berkembang ke Seri Petaling di samping pelbagai NGO Islam bersarang di kota raya.

Kota raya adalah medan persaingan menebar pengaruh dan mencetak kader. Masjid-masjid dan surau-surau di Lembah Klang menjadi kubu orang PAS, bersaing sengit dengan karkun Tabligh yang mengimarahkan masjid dan surau. Para asatizah berdatangan dari seluruh pelusuk negara, mengisi pengajian agama di pejabat, kilang, masjid, surau, rumah orang berada yang budiman dan sebagainya. Pimpinan PAS agak bebas berkongsi ilmu dengan masyarakat kota yang agak terbuka pemikiran berbanding di kawasan perdesaan yang dikawal ketat oleh Pemuda Umno saat itu.

Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar adalah tempat ikonik dekad 1990-an kepada pencandu politik dan abnaul harakah. Di atas sempadan Gombak, Selangor dan Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan, diusahakan pembeliannya oleh PAS Pusat dengan bantuan PAS Terengganu dengan Almarhum Ustaz Hassan Shukri sebagai aktor utama. Ustaz Hassan Shukri adalah sosok besar harakatul ummah sejak dekad 1970-an, juga pernah memimpin YADIM dalam era kerajaan campuran BN 1970-an sebagai Timbalan Pengerusi.

PAS merasa perlu sebuah markas untuk pelbagai program dakwah, penerangan, tajnid, kebajikan yang bersifat one stop centre di Lembah Klang. Lantas, infak ahli PAS digerakkan maka sedikit demi sedikit pusat tarbiah ini dibina secara gotong royong oleh ahli-ahli PAS terutamanya daripada PAS Wilayah Persekutuan dan PAS Kawasan Selangor yang berdekatan. Menarik juga, apabila Almarhum mengetahui aku berasal dari Besut maka Almarhum dengan bangga menyebut PAS Besut menghantar kayu untuk pembinaan Markas Tarbiah Taman Melewar.

Markas Tarbiah Taman Melewar bukan sekadar bangunan menempatkan Pejabat Agung, Dewan Pemuda, Dewan Ulama, namun di sana juga tempat berlangsung Muktamar Tahunan PAS Pusat banyak kali. Saban minggu jugalah ceramah-ceramah perdana diadakan membariskan pimpinan PAS malah termasuk juga rakan-rakan sekutu PAS di zaman Barisan Alternatif.

Paling ramai dalam sejarah, himpunan paling besar ialah pelancaran GERAK pada April 1999. Gabungan parti politik, NGO serta NGI yang digalang apabila Anwar Ibrahim mendekam dalam penjara. Lebih kurang 80,000 rakyat telah mengerumuni markas tarbiah. Penulis dan rakan-rakan aktivis dalam Dewan Pemuda telah melaksanakan pelbagai urusan program, daripada hebahan, logistik, kutipan derma sehinggalah kepada urusan membersihkan sampah sarap ketika program sedang berlangsung dan keesokan harinya.

Penubuhan GERAK melahirkan momentum kebangkitan rakyat yang lebih tersusun sehingga PAS memetik kemanisan dengan kejayaan. PAS banyak memenangi kawasan majoriti Melayu dalam Pilihan Raya Umum pada November 1999. Almarhum Ustaz Fadzil Nor, memimpin GERAK serta PAS, menjadi pemain utama yang mendobrak kezaliman rejim BN saat itu.

Memori indah itu terpahat tajam dalam ingatan penulis, 26 tahun lampau, menjadi orang terpaling sibuk di Markas Tarbiah Pusat bila diadakan acara-acara besar. Menggalangi jawatan Ketua Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan, dengan pelbagai taklifan besar apabila program Lujnah PAS Pusat atau Dewan Pemuda PAS Pusat, kami telah diwajibkan untuk menyibukkan diri dari awal hingga ke akhir program terutamanya program Muktamar PAS Pusat atau Dewan Pemuda Pusat.

Pemuda dipertanggungjawabkan untuk memastikan persiapan dewan dan kutipan derma. Tugas mencuci sampah di sekitar premis markas adalah paling memenatkan tetapi menjadi kenangan paling membahagiakan.

Setelah lebih suku abad, ramai pimpinan serta aktivis telah kembali ke negeri abadi manakala ada juga yang berpindah bahtera seperti Abang Mad Sabu, yang kini mesra Umno yang pernah dibencinya dahulu. Sebahagian pemimpin telah menubuhkan PAN pada tahun 2015 apabila mereka tidak terpilih dalam Muktamar di Kuala Selangor.

Segala-galanya kini menjadi kenangan indah buat kami, anak-anak muda yang diasuh oleh tokoh tajnid seperti Almarhum Ustaz Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Abu Bakar Chik (UABC) dan lain-lain sesepuh perjuangan.

Kenangan-kenangan indah ini semua berlalu dibawa angin semilir sejarah. Cinta dan kerinduan kadang tidak menyatu dalam jarak masa! Kini telah tiada kedai laksa Kedah dengan harga mampu tekak di hadapan markas, tiada lagi jualan buku-buku lelong dengan harga mampu milik rakyat jembel pelbagai tajuk di hadapan rumah Bahar, seterusnya acara tidak rasmi mengeteh di Restoran Taqwa selepas setiap program di Markas Tarbiah Taman Melewar. Rezeki dan pahatan taqdir pada aksara langit. Jadual Allah antaranya, beberapa orang kakitangan Pejabat DPPP dan Pejabat Agung yang setia juga telah meninggal dunia.

Hilang sudah kelibat lincah Almarhum Dr. Raja Iskandar, Syakirin, Kak Yah, Pak Syed Mohamad dan lain-lain petugas jemaah. Hati patah berkeping-keping apabila hadir ke KUIZM apabila ada program jemaah, tempat anak-anak berlari-lari di celah-celah lorong Haji Hassan dua dekad yang lalu. Relung hati menjadi sayu bila sesekali hadir di kawasan yang pernah menjadi tumpuan utama abnaul harakah lebih suku abad yang lalu, merakam kisah ukhuwwah semahal tempayan emas!

Teringat watak Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS yang berjasa. Ditata rapi pakaiannya dengan butang Melayu penuh di dada menutup baju bergosok kemas. Ceramah Ustaz Fadhil dengan nada graf menarik, daripada perlahan sehingga beransur tinggi suara. Kepedulian Almarhum terhadap nasib Islam dan orang Melayu sangat mengujakan akal. Di Parlimen beliau gagah sebagai Ketua Pembangkang dengan orasi yang menyakinkan. Jika berprogram di Taman Melewar, maka jangan dilewatkan  jadual makan malam. Antara yang boleh bergurau selamba dengan Almarhum ialah Mat Zain, anak Kedah yang menguruskan soal pembesar suara markas. Ingatannya kuat, Almarhum memerhati dengan dekat anak-anak buah yang bekerja… “Enta tak dak kuliah ka malam ni?” tanya Almarhum dengan tatapan mata dikecilkan. Aku  menggunung rasa tersanjung bila seorang Presiden mengambil tahu rutin hidupku yang kelas cap ayam ini, sama apabila tahun-tahun terakhir ini Ayah Chik mengusikku bab ceramah ‘pejam mata’.

Bagiku mudah, Faiz Fadzil, Setiausaha PAN, tiada sezaman berjuang di zaman ayahandanya namun kini beliau kelihatan sibuk untuk menunggang sejarah emas bapanya. Di zaman Almarhum Ustaz Fadhil, DAP meninggalkan pemuafakatan politik pada tahun 2001. Faiz tidak layak untuk bercakap pasal perjuangan ayahanda beliau kerana dalam senang dan susah payah, Ustaz Fadzil tetap istiqomah bersama PAS, bukan melukut di kaki DAP! Kelantangan Almarhum serta keseriusan aspirasi perjuangan menegakkan pemerintahan Islam berteras syariah di tanah leluhur ini, sedangkan PAN adalah perkakas DAP dalam merengkuh sokongan orang Melayu!

Himpunan, kuliah haraki, ceramah, tamrin di Markas Tarbiah Taman Melewar mengacuankan kami sebagai  rijalul dakwah. Dalam dekad 1990-an, jika ada demonstrasi, kamilah anak muda yang akan menjadi perisai kepada barisan pemimpin; tembakan gas pemedih mata atau belantan FRU maka  kami akan berdada terlebih dahulu.

Tulisan ini sememangnya tidak mampu untuk merangkumkan semua memori indah zaman dahulu seputar Markas Tarbiah Taman Melewar dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor dalam dasawarsa 1990-an. Justeru, penulis merasa mual (annoying) bila membaca tulisan budak-budak PAN dan juga kelompok pseudo reformis berkaitan PAS era Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan juga Ustaz Fadhil Noor. “Demo tak kenal barey tapi gelenyar nak menulis sejarah PAS.”

PAS hari ini tetap daripada acuan sesepuh perjuangan mereka yang terdahulu, cuma berbeza kerana Allah hadirkan kejayaan lebih besar kepada PAS era Tuan Guru Abdul Hadi dan pasukannya, menuju ke gerbang jasa!

DR. RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat 
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 6/5/2025

- Advertisement -