Tengku Mahkota Kelantan dimasyhur Pro-Canselor UMK

- Advertisement -

BACHOK: Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sempena Majlis Ijazah Pemasyhuran Pro-Canselor dan Konvokesyen UMK ke-14.

- Advertisement -

Watikah pemasyhuran dipersembahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan turut disaksikan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Ketika menyampaikan titah ucapan, baginda menegaskan pendekatan pengajian di UMK wajar berorientasikan pembelajaran abad ke-21 dengan mengambil kira elemen gaya hidup digital, penguasaan teknologi, peralatan dan perkhidmatan digital serta cara kerja berasaskan pengetahuan.

“Beta sentiasa memantau perkembangan serta pencapaian UMK sama ada pada peringkat nasional atau antarabangsa sepanjang tahun lalu. Pada era globalisasi kita sedang menyaksikan perubahan kehidupan dalam konteks bekerja, komunikasi atau mengakses maklumat,” titah baginda.

Tengku Muhammad Fakhry Petra turut bertitah bahawa UMK perlu menilai semula keseluruhan ekosistem universiti bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Titah baginda lagi, penilaian berkenaan turut merangkumi kurikulum, kaedah pembelajaran yang lebih relevan, program pengajian serta aktiviti penyelidikan.

Baginda bagaimanapun bertitah, cabaran getir bakal dilalui oleh warga universiti tersebut untuk terus kekal berdaya saing, relevan dan mampu melahirkan graduan yang memenuhi keperluan semasa.

Seramai 123 graduan menerima ijazah mereka pada sidang pertama konvokesyen membabitkan 53 ijazah doktor falsafah dan 44 ijazah mod penyelidikan. – HARAKAHDAILY 6/5/2025

- Advertisement -