
KANGAR: Satu kejadian khianat di Jalan Seruling menggemparkan orang ramai apabila tiga mesin palang automatik dirosakkan akibat tindakan yang disengajakan oleh individu tidak dikenali.
Kejadian ini berlaku sekitar jam 8:50 pagi semalam ke atas sistem palang milik syarikat Snatch Park Bizsolutions Sdn Bhd (Snatch) menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM30,000.
Pengadu, Hanif Zakwan Kamarudin, 29, juruteknik bertugas melakukan rondaan di kawasan tersebut mendapati sistem parkir palang automatik, termasuk dua kamera Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) dan tiga barrier, telah rosak.
Kerosakan ini berlaku di tiga lokasi berbeza iaitu kawasan masuk di Medan Market Lama, laluan keluar di belakang bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta laluan masuk di hadapan Maybank.
Menurut Hanif, kali terakhir beliau memeriksa sistem parkir tersebut pada 3 Mei sekitar pukul 7 petang, dan pada ketika itu, sistem tersebut berada dalam keadaan baik.
Bagaimanapun, pagi semalam, ketika pemeriksaan dijalankan, didapati semua peralatan tersebut telah rosak akibat tindakan yang disangka dilakukan dengan sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab.
Siasatan lanjut mendapati beberapa kamera Televisyen Litar Tertutup (CCTV) yang mengarah ke tempat kejadian berjaya merakamkan imej yang dapat membantu pihak berkuasa dalam siasatan.
Hasil siasatan ini membawa kepada penahanan Khoo Koon Wah, 62, yang ditangkap di hadapan Public Bank Berhad, Jalan Raja Syed Alwi, Pusat Bandar di sini.
Pihak polis turut merampas sebuah kenderaan Nissan Navara berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran RP1319 dan alat kawalan jauh kenderaan tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan.
Khoo yang dikatakan berniaga di sekitar Kangar kini dalam reman dan akan dibawa ke mahkamah esok untuk permohonan reman.
Siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat yang mengakibatkan kerosakan terhadap harta benda.
Pihak berkuasa juga berharap penahanan ini akan membantu mereka mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai motif di sebalik kejadian ini.
Dengan kerosakan yang melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM30,000, pihak Snatch Park Bizsolutions Sdn Bhd dijangka akan membuat laporan rasmi berkenaan insiden ini.
Pihak syarikat juga mungkin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 6/5/2025











