Vape: Perluas skop penguatkuasaan PBT bendung jualan

- Advertisement -

IPOH: Razman Zakaria menggesa Kerajaan Negeri Perak memperluaskan skop penguatkuasaan di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membendung penjualan vape atau rokok elektronik, khususnya melibatkan pelajar dan golongan muda.

Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak itu berkata, penularan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan pelajar kini semakin membimbangkan dan memberi kesan buruk terhadap kesihatan awam, selain pembangunan sosial serta moral anak muda di negeri ini.

“Statistik terkini menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kalangan pengguna muda. Menurut Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, 13.4 peratus pelajar sekolah menengah di Malaysia menggunakan vape.

“Dan peratusan ini dijangka meningkat pada tahun 2024 dan 2025. Data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menunjukkan bahawa sebanyak satu daripada lima remaja berumur 13 hingga 17 tahun pernah mencuba vape,” ujarnya.

Beliau berkata, di Perak, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) merekodkan lebih 600 kes pelajar memiliki dan menggunakan vape sepanjang tahun 2024, berbanding hanya 250 kes pada tahun sebelumnya

“Trend ini adalah satu amaran jelas bahawa tindakan segera dan tegas perlu diambil. Kesan kesihatan akibat penggunaan vape termasuk kerosakan paru-paru, ketagihan nikotin, dan gangguan sistem kardiovaskular.

“Lebih membimbangkan, vape sering menjadi ‘pintu masuk’ kepada penyalahgunaan dadah lain,” terangnya yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gunung Semanggol.

Sehubungan itu, Razman menggesa Kerajaan Negeri Perak untuk menggubal dan menguatkuasakan larangan penuh terhadap sebarang unsur promosi, penjualan vape dan rokok elektronik di seluruh negeri itu.

Ia menurutnya termasuk di kedai serbaneka, pasar malam, dan secara dalam talian, selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Beliau turut menggesa agar semua premis yang menjual vape dan produk berkaitan secara terbuka atau terselindung ditutup melalui tindakan bersepadu di bawah bidang kuasa PBT seperti termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Selain itu katanya, kempen kesedaran besar-besaran perlu dijalankan di seluruh negeri melalui kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri, PBT dan NGO berkaitan, selaras matlamat pencegahan awal seperti digariskan Dasar Kesihatan Awam Negara.

“Kerajaan negeri juga perlu mewujudkan penguatkuasaan bersepadu antara PBT, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Kementerian Kesihatan bagi mengesan, menyita dan mendakwa pihak yang masih menjual vape secara haram.

“Mereka juga perlu membina sokongan pemulihan dan kaunseling kepada remaja yang telah terjebak dengan ketagihan nikotin melalui vape,” katanya.

Menurut Razman, pengusaha dan pekerja kedai vape yang terlibat juga wajar diberikan sokongan melalui tawaran latihan keusahawanan alternatif atau latihan kemahiran TVET secara percuma sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu menunjukkan ketegasan dan keprihatinan terhadap generasi muda seperti saranan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Panglima Ayob Khan Mydin Pitchay, yang risau penggunaan vape berleluasa.

Juga ujarnya, terhadap sokongan daripada lebih 60 NGO yang menyokong supaya industri vape ini dibendung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

“Pencegahan lebih baik daripada merawat. Jangan tunggu sehingga masalah ini menjadi krisis kesihatan awam yang tidak dapat dikawal,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -