
Oleh ZAID ADHAR
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang melontarkan keperluan rombakan perubahan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) harus dipandang serius oleh semua pimpinan dan akar umbi dalam gabungan itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Tuan Ibrahim bukan sekadar bercakap atas kapasiti seorang pemimpin kanan, tetapi sebagai suara berpengalaman yang telah menyaksikan sendiri turun naik perjuangan sepanjang beberapa tahun ini.
“Saya melihat kenyataan ini sebagai satu ‘wake-up call’ yang tepat pada waktunya. PN bukan lagi dalam fasa merintis. Kita sudah melepasi tempoh tiga ke empat tahun yang penuh warna-warni—bergelar kerajaan, menjadi rakan dalam kerajaan, dan kini sebagai pembangkang.
“Setiap fasa itu datang dengan cabarannya yang tersendiri. Namun sayangnya, pentadbiran kita kekal dalam acuan lama, seolah-olah tidak belajar daripada peralihan demi peralihan ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jika pentadbiran PN kekal statik, tidak progresif dan tidak responsif terhadap cabaran semasa, maka gabungan itu sebenarnya sedang menempah kegagalan.
“Hari ini, rakyat sudah mula menyuarakan kebimbangan. Mereka mahu lihat PN yang bersedia memimpin, bukan sekadar bersedia bertanding.
“Mereka mahu lihat sebuah gabungan yang tersusun, tangkas dan mempunyai strategi komunikasi serta pengurusan politik yang lebih moden dan agresif.
“Lebih membimbangkan, kita kini berdepan dengan Perdana Menteri yang menjadikan populariti peribadi sebagai strategi utama. Beliau bukan sekadar memimpin, tetapi juga mencipta persepsi.
“Setiap tindakannya, dari menyanyi ke bersajak, dari provokasi ke gimik media, adalah sebahagian daripada strategi untuk membina imej di mata rakyat. Ini bukan permainan biasa. Ini adalah politik persepsi yang memerlukan respon luar biasa,” jelasnya.
Justeru itu, beliau mengulangi bahawa pentadbiran PN mesti berubah.
“Kita perlu segar dengan pendekatan yang lebih dinamik, termasuk dalam aspek kepimpinan, penyusunan dalaman, naratif media, dan penglibatan anak muda. Kita tidak boleh berharap kepada strategi lama untuk berdepan dengan cabaran politik baru.
“Apatah lagi, ada rakan-rakan politik yang sedang memerhati. Mereka mahu bersama kita, tetapi mereka juga mahu melihat kesungguhan kita untuk menjadi lebih kuat, lebih bersedia dan lebih strategik.
“Jika kita gagal memberi isyarat perubahan, maka kita akan gagal meyakinkan rakyat. Dan lebih malang, kita akan gagal meyakinkan bakal rakan seperjuangan.
“Perubahan ini bukan retorik. Ia satu tuntutan masa. Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah oleh rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2025











