
TUMPAT: Gerak kerja dakwah dan tarbiah menjadi keutamaan dalam perjuangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat yang terus digerakkan dengan semangat jitu oleh generasi muda Islam di kawasan ini.
Perkara itu ditegaskan oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Tumpat, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dalam Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tumpat.
Beliau memuji keikhlasan dan komitmen tinggi dalam kalangan kepimpinan serta para pemuda yang hadir.
“Saya amat menghargai seluruh saf kepimpinan Pemuda PAS Tumpat yang telah berkorban masa dan tenaga demi Islam. Insya-Allah, setiap pengorbanan ini tidak akan sia-sia di sisi Allah SWT,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pemuda PAS Tumpat, Ustaz Mohd Hushaimi Hussian yang menamatkan tempoh khidmatnya, dan menyifatkan semangat juang beliau akan terus menyala dalam bentuk sumbangan lain.
“Perjuangan ini tidak pernah mengenal noktah. Kepimpinan datang dan pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan dengan penuh keikhlasan dan istiqamah,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan perhimpunan itu bukan sekadar agenda organisasi, malah medan muhasabah dan penyuntik semangat bagi memperkukuh dakwah, tarbiah dan siasah di peringkat akar umbi.
Majlis turut dihadiri oleh wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, ADUN Kelaboran Mohd Adanan Hassan, ADUN Wakaf Bharu Haji Mohd Rusli Abdullah dan wakil Ahli Parlimen Tumpat. – HARAKAHDAILY 3/5/2025











