
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pemimpin-pemimpin Umno termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Datuk Seri Ahmad Maslan sedang berusaha ‘menyamak dan mensucikan’ DAP walaupun menafikannya.
Beliau berkata, ahli Umno dan orang Melayu tidak lupa kenyataan-kenyataan terdahulu oleh pemimpin parti itu mengenai DAP, termasuk penerbitan buku ‘Bahaya DAP’ oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi semasa menjadi Ketua Pengarah JASA serta naratif yang mengaitkan DAP dengan Parti Komunis Malaya oleh bekas Menteri Umno.
“Pesanan saya, tidak perlulah Asyraf Wajdi dan pemimpin-pemimpin Umno ‘try hard’ sangat menafikan bahawa mereka sedang menyamak dan mensucikan DAP kerana jelas kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Umno… adalah untuk menyamak dan mensucikan DAP,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal turut menyenaraikan beberapa kenyataan lama oleh pemimpin Umno yang dikatakan mengecam DAP, antaranya oleh Asyraf Wajdi pada 3 dan 5 September 2019, serta kenyataan pada 14 Mac 2018; Mohamad Hasan pada 30 Jun 2019; dan Ahmad Maslan pada 25 September dan 22 Ogos 2020.
Begitu juga kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Ogos 2019 yang dikatakan menyalahkan DAP sebagai punca perpecahan orang Melayu.
“‘10 bukti utama pemimpin DAP-PH rasis’ – Asyraf Wajdi, 3 September 2019; ‘DAP sebenarnya petualang yang rasis’ – Asyraf Wajdi, 5 September 2019 dan ‘Pembangkang diketuai DAP tolak Islam’ – Asyraf Wajdi, 14 Mac 2018.
“‘DAP adalah parti paling rasis di dunia’ – Mohamad Hassan, 30 Jun 2019; ‘Tak mungkin saya bersama DAP – Ahmad Maslan’, 25 September 2020; ‘Jangan biarkan DAP berkuasa semula – Ahmad Maslan’, 22 Ogos 2020 dan ‘Zahid dakwa DAP punca Melayu berpecah’, 3 Ogos 2019,” jelasnya.
Menurut Tun Faisal, kenyataan pemimpin Umno sejak menyertai kerajaan campuran menunjukkan usaha untuk membina imej positif DAP.
Beliau memetik antara lain kenyataan Mohamad Hasan pada 11 Januari 2023; Zahid Hamidi dan Ahmad Zahid pada 2 Julai 2024; Ahmad Maslan pada 18 Julai 2023; serta kenyataan Asyraf Wajdi sendiri pada 23 April 2025.
“‘DAP tidak bermuka-muka, pura-pura dalam setia kawan’, Mohamad Hasan, 11 Januari 2023; ‘DAP bukan ancaman kepada Melayu, Islam’ – Zahid dan ‘DAP tidak pernah tentang program Islam – Ahmad Zahid’, 2 Julai 2024.
“‘Ahli Umno perlu berhenti fobia pada DAP – Ahmad Maslan’, 18 Julai 2023 dan ‘DAP tidak mampu pinda hak Melayu, Bumiputera, jadikan Malaysia Sekular’ – Asyraf Wajdi, 23 April 2025,” kupasnya.
“Maksud ‘mensucikan’ adalah ‘menjadikan sesuatu itu bersih’. Tidakkah kenyataan-kenyataan Asyraf, Ahmad Maslan, Zahid dan Mat Hassan menggambarkan bahawa mereka sedang mensucikan DAP?
“Bukankah lebih baik Asyraf mengaku sahaja memang mereka sedang mensucikan DAP?” katanya.
Tun Faisal turut berkata Ahmad Zahid pernah bersumpah dengan nama Allah menafikan sokongan kepada Anwar Ibrahim dan kerjasama dengan DAP, namun kemudiannya tidak menunaikan sumpah itu.
“Bagaimanakah hendak mempercayai orang yang sanggup bersumpah dengan nama Allah untuk menipu ahli-ahli Umno? Laknat Allah pun dia tak takut, ini pula laknat manusia,” jelasnya.
Beliau juga berkata Asyraf Wajdi berbohong apabila sebelum ini menyatakan akan menentang kerjasama dengan Anwar dan DAP, tetapi kini menyokong langkah yang bertentangan.
“Tidakkah ini suatu pembohongan dan kemunafikan? Bagaimana kita hendak mempercayai pemimpin-pemimpin Umno ini yang dengan mudah sahaja menipu dan menunjukkan ciri-ciri munafik yang jelas?” katanya.
Tun Faisal menegaskan, pemimpin-pemimpin yang beliau sebut sebagai ‘UmDAP’ perlu mengakui usaha mereka menyucikan DAP agar diterima ahli Umno dan orang Melayu.
“Kepada Asyraf dan pemimpin-pemimpin UmDAP (bukan Umno) yang lain, akui sahajalah usaha kamu berusaha menyamak dan mensucikan DAP agar diterima oleh ahli-ahli Umno dan orang Melayu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2025











