
ALOR SETAR: Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali kekal menerajui Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Serai, untuk sesi 2025-2027.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan sesi 2025-2027, Siti Nor Sholehah Mohamad Noor, pada Mesyuarat Agung Tahunan dewan berkenaan, di Kilang Lama, Kulim, semalam.
Siti Ashah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, menang tanpa bertanding berikutan tiada pencabar untuk pertandingan jawatan tersebut.
Dalam pada itu, 11 daripada 15 Dewan Muslimat PAS kawasan-kawasan di Kedah, telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.
Daripada 11 dewan berkenaan, lima daripadanya menyaksikan berlaku pertukaran ketua.
Bagi Dewan Muslimat PAS Kawasan Jerai, jawatan Ketua Dewan Muslimat disandang Halimaton Mohd Saad@Ahmad yang sebelum ini dipegang Siti Ashah Samat dalam pertandingan dua penjuru.
Begitu juga dengan Dewan Muslimat PAS Kawasan Sungai Petani, Siti Nurlis Mohd Muslim berjaya mendapat undi tertinggi, selain dua calon lagi.
Pertukaran ketua juga melibatkan Dewan Muslimat PAS Kawasan Merbok di mana Shamsinar Marzuki menggantikan Arfah Abdul Rahim pada pertandingan dua penjuru.
Pertukaran jawatan itu juga melibatkan Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling, Rubiah Salleh dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Terap, Sofiah Othman, di mana kedua-duanya menang tanpa bertanding.
Sementara lima kawasan lain yang mengekalkan Ketua Dewan Muslimat sesi lalu, menang tanpa bertanding iaitu Ustaz Fauziah Abdullah (Kuala Kedah), Shahirun Saad (Alor Setar), Ustazah Fatimah Ibrahim (Langkawi), Norhashimah Abdul Rahman (Sik) dan Ustazah Mekiah Shamsudin (Pokok Sena).
Empat lagi Dewan Muslimat PAS kawasan yang belum mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan masing-masing akan menyelesaikannya pada pertengahan Mei ini.
Dewan Muslimat Kawasan Kubang Pasu pada 9 Mei, Dewan Muslimat PAS Jerlun dan Pendang (10 Mei), manakala Dewan Muslimat PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu (15 Mei).
Muktamar Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS negeri, dijangka akan diadakan pada 13 Julai depan di Kompleks PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 3/5/2025











