
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengajak semua pihak termasuk pimpinan parti politik dalam gabungan Perikatan Nasional serta parti lain seperti MUDA untuk bersama-sama menyertai Himpunan Aman Anak Muda Bantah Rang Undang-Undang Urban Renewal Act (URA) pada 14 Jun ini di Lembah Klang.
Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata semua pihak yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang itu dialu-alukan hadir menyatakan sokongan terhadap bantahan tersebut.
“Kami mengajak semua pihak termasuk pimpinan-pimpinan parti-parti politik daripada parti-parti lain khusus dalam gabungan muafakat politik Perikatan Nasional dan juga termasuk daripada MUDA. Saya difahamkan YB Syed Saddiq juga tidak bersetuju dengan rang undang-undang ini dan dia telah menyerahkan bantahan ini di Parlimen.
“Semua pihak yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang ini boleh bersama-sama dengan himpunan ini. Menggerakkan bersama-sama dengan kami. Terbuka untuk semua. Tidak khusus untuk Pemuda PAS sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Alor Setar itu memaklumkan telah mendapat pandangan awal daripada pimpinan tertinggi PAS yang bersetuju untuk menyertai dan menganjurkan himpunan itu.
Mengulas mengenai lawatan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke flat usang di sekitar Kuala Lumpur, Afnan menyifatkan tindakan itu sebagai kosmetik dan tidak menyelesaikan persoalan utama mengenai penurunan nilai ambang persetujuan penduduk bagi pembangunan semula.
“Pertama sekali, Yang Berhormat Menteri KPKT buat satu lawatan, melawat flat-flat yang usang di sekitar Kuala Lumpur. Memang jemputan itu diberi kepada semua Ahli Parlimen. Saya sendiri dapat jemputan itu melalui e-mel.
“Kita buat pendirian untuk tidak bersama dalam lawatan itu kerana pada pandangan kami, lawatan itu hanya sekadar kosmetik. Nak cerita bangunan yang usang, yang buruk, yang teruk.
“Sebelum ini banyak je bangunan yang usang. Dan kerajaan boleh baiki bangunan itu. Tidak ada masalah pun. Di peringkat negeri ke, di peringkat Persekutuan ke, perkara-perkara itu telah pun dan sedang diatasi.
“Yang kita nak pertikainya ialah kenapa diturunkan nilai ambang persetujuan itu? Daripada 100 peratus kepada 70 peratus, kepada 80 peratus.
“Adakah dengan membawa melawat flat-flat yang usang itu boleh menjawab kenapa nak turunkan nilai ambang persetujuan itu?
“Jadi setakat bawa melawat flat itu macam lawatan sekolah gitu je. Adakah nak samakan Ahli Parlimen ini macam pelajar sekolah?
“Kenapa tak bawa melawat tempat-tempat lain yang lebih daif, yang lebih teruk? Kenapa tak bawa melawat kampung-kampung yang lebih memerlukan kepada pembangunan?
“Jadi kenapa hanya pilih satu dua tempat sahaja? Jadi kami merasakan lawatan ke flat yang dibuat oleh Menteri KPKT ini hanya sebagai satu optik politik sahaja. Dan dia tidak akan menjawab kenapa rakyat ataupun penduduk membantah rang undang-undang pembaharuan semula bandar ini,” katanya.
Menurutnya, memorandum bantahan yang akan diserahkan kepada Ahli Parlimen mengandungi cadangan alternatif yang akan dikemukakan dan dibincangkan secara berperingkat hingga menjelang tarikh himpunan.
“Dalam memorandum ini ada alternatif tersebut. Memorandum ini akan kami serahkan kepada Pemuda dan kita akan diskusikan alternatif ini daripada masa ke semasa sehingga sampai tarikh himpunan itu.
“Sebab itu kami umum awal tarikh himpunan supaya kami dapat kemukakan solusi ini secara lebih akademik.
“Kita bukan setakat nak bantah, duk guling-guling atas jalan macam ada orang ajar kita buat dulu, nak lawan FRU. Kita bukan nak buat macam tu. Kita nak berdiskusi secara sihat.
“Dalam negara demokrasi, kita kemukakan cadangan alternatif. Dan sebahagian daripada memorandum ini telah pun disebut dalam perbahasan di Parlimen.
“Saya sendiri pernah bawa cadangan alternatif itu di Parlimen sebahagiannya. Tapi Menteri KPKT ketika menggulung dia tak jawab soalan yang kami bangkitkan. Dia cerita apa yang dibuat di KPKT, lepas itu ditutup sebab masa dah habis,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pihaknya tidak akan mendedahkan semua kandungan memorandum lebih awal.
“Time to time kita tak boleh bagi semua peluru hari ni. Sat gi semua KPKT jawab, selesai habislah semua,” katanya.
Setakat ini, lebih 10 hingga 20 NGO sudah menyuarakan sokongan terhadap bantahan RUU URA dan pihaknya menjangka lebih banyak NGO akan turut serta.
“Jadi kita jangka lebih ramai lagilah NGO-NGO ini. Sebab itu kita umum tarikh ini awal untuk kita menarik perhatian mereka duduk bersama-sama kita dan menggerakkan himpunan ini secara bersama,” katanya.
Beliau juga menjelaskan pendekatan itu mengikut contoh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menjadi pembangkang.
“Kami sebenarnya buat ikut contoh teladan PMX sendiri. Dulu dia pun bagi contoh teladan yang sama semasa jadi pembangkang. Lepas itu dia kata pembangkang lemah apa semua. Jadi dia suruh tiru macam dia buat dulu. Jadi kami sedang tiru apa dia buatlah. Jadi terima kasihlah kepada Yang Berhormat Perdana Menteri,” katanya.
Katanya lagi, semua pihak yang terkesan termasuk Kampung Sungai Baru dialu-alukan menyertai himpunan berkenaan.
“Semestinya semua pihak yang terkesan dengan sebarang proses pembaharuan bandar yang hendak dicadangkan ini perlu terlibat dalam himpunan ini.
“Isu kes Kampung Sungai Baru itu satu isu yang lain, tapi untuk menyertai mereka join himpunan ni kita mengalu-alukan. Kita tidak akan menghalang. So mana-mana pihak yang terjejas dengan rang undang-undang yang akan dibentangkan ini, kita minta jemput hadir untuk menyatakan sokongan kepada bantahan kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2025











