DAULAT bincang isu tanah negara, 17 Mei di KUIZM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat menerusi Institut Kajian Islam & Strategik (IKIS) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bakal menganjurkan Multaqa Ulama Membumi Daulat (DAULAT).

Program sehari dan terbuka untuk disertai awam yang berminat ini akan dilangsungkan di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak pada Sabtu, 17 Mei nanti.

Ia bakal mengumpulkan para ulama, asatizah, pemimpin agama dan tokoh-tokoh dari pelbagai bidang ini bagi membincang serta menyimpulkan beberapa solusi dalam menangani isu-isu penting umat Islam orang Islam.

- Advertisement -

Multaqa ini mahu mengenal pasti cabaran sosial, ekonomi, perundangan, pendidikan dan lain-lain yang dihadapi oleh masyarakat, seterusnya solusi dapat ditawarkan Islam terutama dalam isu hak orang Melayu dalam negara ini.

DAULAT juga bakal menilai dan memperkukuhkan peranan ulama dan asatizah dalam memberikan panduan agama yang tepat dan relevan dengan kehendak semasa, selain meningkatkan kesedaran awam.

Terutama dalam menyampaikan mesej bahawa Islam adalah penyelesaian dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera dengan mencadangkan langkah tindakan.

“Iaitulah membuat cadangan praktikal kepada masyarakat, para cendekiawan, ahli politik dan pihak yang berkuasa dalam menangani isu-isu utama melalui pendekatan Islam,” maklum Ketua Koordinator, Mohd Fadhil Zulkifli.

Secara khusus, DAULAT kali ini akan membincangkan tsu tanah dengan membawakan tema “Tanah Lambang Kedaulatan” akan disempurnakan perasmian oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.

Pembentangan akan menampilkan Pengasas Institut Penyelidikan Kemerdekaan Islam Dalam Demokrasi (IIIRD), Dr Mohd Fadli Ghani yang membawa tajuk ‘Sejarah Pengurusan Tanah Melalui Hukum Kanun Melaka: Implikasinya terhadap Isu Pembangunan Tanah di Malaysia’.

Juga Pensyarah Undang-Undang dan Polisi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dengan tajuk ‘Mengimbangi Undang-Undang Tanah Sivil dengan Prinsip Fiqh: Isu Tanah dan Keadilan Sosial di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki akan membawa tajuk ‘Fiqh Tanah dan Kedaulatan Negara: Menelusuri Isu Tanah di Malaysia dalam Era Pembangunan Global dan Campur Tangan Asing’.

Serta Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Malaysia (UMMAH), Plc Mohd Zai Mustafa akan membentang ‘Isu Pembangunan Tanah dan Bandar di Malaysia: Kajian Kes di Malaysia’.

Perbincangan akan diulas oleh tiga panel jemputan iaitu Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Lar Fauzi Abu Bakar dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan serta Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Khalil Yahaya.

Sesi diskusi akan diadakan bersama Ahli Jawatankuasa IKIS, Ustaz Zaharudin Muhammad dan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah, manakala penutup DAULAT akan disempurnakan dengan amanat khas bakal disampaikan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyertaan bagaimanapun dihadkan kepada 500 peserta dengan tiga kategori bayaran di mana pendaftaran ditutup pada 10 Mei ini dan maklumat lanjut boleh dirujuk ke talian 013-6102733 (Mohd Fadhil). – HARAKAHDAILY 2/5/2025

- Advertisement -