
GUA MUSANG: Sebanyak 20 juadah disediakan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang diadakan di pekarangan kediaman Penghulu Mukim Limau Kasturi di sini.
Penyelia DUN Nenggiri, Rizwadi Ismail berkata, acara tahunan tersebut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada sembilan mukim yang menyediakan pelbagai makanan dan minuman kepada pengunjung.
Malah kata beliau, majlis yang diadakan pada akhir bulan Syawal itu mendapat perhatian agensi kerajaan antaranya Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Klinik Kesihatan Limau Kasturi.
“Alhamdulillah kita berjaya mengadakan rumah terbuka hari raya aidilfitri dan majlis ini diserikan dengan kehadiran agensi seperti klinik kesihatan, pihak sekolah, KESEDAR dan lain-lain lagi.
“Semua penghulu mukim dalam DUN Nenggiri, seramai sembilan orang telah bertungkus lumus untuk menyediakan hampir 20 juadah makanan kepada pengunjung yang hadir pada majlis ini,” katanya.
Rizwadi ketika dihubungi semalam berkata lagi, lebih 3,000 pengunjung menghadiri majlis yang julung kali diadakan selepas dilantik penyelia DUN sesudah PRK DUN Nenggiri Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, sambutan hari raya tidak akan lengkap sekiranya kanak-kanak tidak diraikan dengan sampul duit raya dan sedikit manisan yang diagikan kepada golongan yang hadir pada majlis itu.
Menurut beliau lagi, sebahagian besar kanak-kanak terbabit merupakan pelajar agama dari pondok setempat iaitu Maahad Tahfiz Mahabbah Fathonah yang terletak di Kampung Dalam Senduk, Jerek di sini.
“Alhamdulillah semua pengunjung yang saya temui juga, semuanya menyatakan rasa puas hati terhadap layanan yang diberikan selain hidangan makanan yang disediakan juga sangat menyelerakan.
“Bahkan yang paling mengembirakan ialah kanak-kanak kerana kita menyediakan sikit duit raya dan ‘sisa’ (goodies) untuk meraikan kanak-kanak terdiri dari pelajar pondok dan sekolah di Nenggiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025












