
KUBANG KERIAN: Peruntukan sebanyak RM300,000 diluluskan bagi pemasangan 27 unit lampu jalan berteknologi solar LED bersepadu di sepanjang Jalan Salor Lama dalam masa terdekat.
Cadangan pemasangan ini dimulakan selepas sesi pengesahan tapak dilakukan malam tadi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail.
Beliau hadir bersama pasukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Elektrik yang diketuai oleh Ir Baidhil Aimie Mustapha, Penghulu, kontraktor, serta wakil penduduk.
Fokus pemasangan lampu solar tersebut adalah di kawasan-kawasan gelap dan simpang jalan yang berisiko terhadap keselamatan pengguna, dengan projek itu dijangka disiapkan sepenuhnya dalam sebulan.
“Terima kasih kepada pihak JKR khususnya JKR Elektrik yang sentiasa cakna dengan isu-isu setempat membabitkan keselamatan dan kebajikan rakyat,” ujar Saizol selepas sesi lawatan tersebut.
Inisiatif ini diharap beliau akan dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di kawasan Salor dan memberi manfaat kepada penduduk serta pengguna jalan raya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025











