Gesa agar larangan vape diperluas ke seluruh negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang melarang penjualan vape di seluruh negeri Terengganu dan akan dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2025 ini.

Naib Ketuanya, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, tindakan diambil itu merupakan suatu langkah yang baik dan berpandangan jauh dalam usaha melindungi rakyat, khususnya generasi muda, daripada kesan negatif penggunaan vape.

“Kebimbangan ini berasas apabila mutakhir ini, pelbagai laporan menunjukkan terdapat dadah sintetik di dalam kandungan cecair vape tersebut.

“Pusat Racun Negara (PRN) mendedahkan bahawa cecair vape yang sebelum ini dikaitkan dengan ‘magic mushroom’ sebenarnya mengandungi dadah sintetik berbahaya.

“(Ia) Termasuk ketamin, phencyclidine dan dadah jenis amphetamine, yang boleh menyebabkan keracunan teruk sehingga membawa maut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melalui 50 kajian kes mendapati, apa didakwa sebagai ‘magic mushroom’ sebenarnya merupakan ganja sintetik yang diproses dalam bentuk cecair dan disalahgunakan melalui peranti vape.

“Kelompongan dalam kawalan undang-undang terhadap produk vape telah membuktikan kesannya apabila semakin ramai rakyat, termasuk pelajar sekolah, terjebak dengan perangkap penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

Menurut beliau, kejadian melibatkan seorang pelajar Tingkatan Empat di Terengganu mengalami sawan dan tidak sedarkan diri selepas menggunakan vape berkaitan ‘magic mushroom’ menjadi isyarat jelas kepada keperluan mendesak untuk mengambil tindakan lebih tegas.

“Selain itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan menyokong usaha negeri-negeri untuk mengharamkan penjualan vape tersebut sementara menunggu Kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS katanya, menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah lebih berani dengan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan vape di seluruh negara.

Pemuda PAS juga tegasnya, mendesak pindaan undang-undang dipercepatkan bagi memasukkan cecair vape dalam Akta Racun 1952 dan membawa semula usul RUU Generasi Penamat Rokok (GEG) ke dalam Parlimen.

“(Juga) Menyokong usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperketat pengawasan terhadap penggunaan vape, termasuk dalam kalangan pelajar dan golongan muda.

“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan tegas demi melindungi masa depan generasi akan datang daripada gejala vape yang semakin membarah dalam kalangan anak muda dan rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -