
TIDAK seperti Pilihan Raya Umum (PRU), isu tempatan lebih dekat untuk diberi penekanan oleh setiap parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ialah isu tempatan. Begitu juga kesnya dalam PRK DUN Ayer Kuning yang sedang hangat berkempen sebelum hari pengundiannya hujung minggu ini. Kerajaan ketika ini menghadapi pelbagai isu bermula isu kenaikan kos sara hidup, ‘kehilangan’ beras putih tempatan, pencerobohan tanah secara haram yang secara terbuka oleh Ahli Parlimen parti kerajaan dan terbaru isu kesilapan paparan jalur gemilang dalam laporan analisis keputusan SPM 2024. Namun setiap satu isu ini tidak mampu dijawab kerajaan dan menenangkan keresahan rakyat.
Ketika isu nasional yang banyak dan dijangka mendapat perhatian, isu tempatan seperti kewujudan ladang babi yang didakwa beroperasi tanpa kawalan rapi di kawasan sekitar lebih hangat diperkatakan dan mencuri perhatian. Isu ini telah menimbulkan pelbagai reaksi, terutama dalam kalangan pengundi yang bimbang terhadap kesan alam sekitar, kesihatan awam, dan kesejahteraan komuniti. PERIKATAN NASIONAL (PN) melihat ini adalah satu isu yang perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan keselesaan hidup rakyat dan dalam masa yang sama memberi kesan buruk kepada alam sekitar.
PN secara konsisten sepanjang kempen ini membangkitkan tentang kewujudan ladang ternak babi dan kesannya kepada penduduk setempat serta alam sekitar. Hal ini kerana kewujudan ladang babi berhampiran Kampung Tanjung Keramat dalam DUN Ayer Kuning. PN menggesa Kerajaan Perak memindahkan ladang penternakan babi dari lokasi yang sedia ada ke daerah lain yang tidak menganggu keselesaan penduduk serta mencemar alam sekitar. Langkah ini perlu dilakukan dengan serta-merta jika kerajaan prihatin dengan sensitiviti rakyat DUN Ayer Kuning serta cakna kepada isu alam sekitar. Hal ini kerana pembuangan sisa ladang penternakan secara tidak terkawal serta gangguan bau yang menjejaskan mutu kehidupan penduduk.
Malahan penduduk juga bimbang terhadap kejadian wabak Virus Nipah yang pernah berlaku sekitar 1998-1999 di Perak dan Negeri Sembilan berulang. Walaupun laporan daripada Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan bahawa beberapa ladang di Perak, termasuk yang berhampiran Ayer Kuning, masih tidak menepati standard piawaian pengurusan sisa biojisim dan efluen ladang, Menteri Besar Perak dan Timbalan Presiden Umno masih menganggap bahawa beberapa ladang beroperasi tanpa kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) atau melanggar syarat lesen hanya isu yang sengaja dibangkitkan PN.
Jika diteliti, Umno kini berdepan dengan krisis kepercayaan yang hebat. Bermula dengan slogan “No DAP, No Anwar” yang kemudiannya bergabung dengan DAP diikuti isu calon yang melanggar pekeliling kerajaan dalam perkara berkaitan menjawat jawatan politik, kepercayaan rakyat semakin terhakis terhadap Umno. Isu ladang penternakan babi ini sebenarnya lebih membuktikan bahawa Umno yang merupakan parti minoriti kerajaan negeri tidak boleh lagi dipercayai sebagai parti yang prihatin serta membela rakyat luar bandar yang majoritinya adalah Melayu.
Kelembapan tindakan kerajaan negeri menyelesaikan isu ladang penternakan babi ini menyebabkan isu alam sekitar yang menganggu rakyat tempatan semakin parah. Sisa ternakan babi, jika tidak diurus dengan sempurna, boleh mencemarkan air tanah dan sungai melalui pelepasan bahan berbahaya seperti ammonia, nitrat dan fosfat. Ini bukan sahaja menjejaskan ekosistem sungai, tetapi turut membahayakan kesihatan manusia melalui pendedahan kepada bakteria patogen dan pencemaran bau yang keterlaluan. Pencemaran dari ladang babi menyebabkan Biochemical Oxygen Demand (BOD) dalam sungai meningkat, yang mengakibatkan kematian hidupan akuatik.
Ketika Umno sibuk menafikan dan seolah cuba menjaga kepentingan politiknya dalam kerajaan, pengundi yang kini semakin celik maklumat mahukan penyelesaian konkrit dari kerajaan. Sikap acuh tidak acuh kerajaan dan berada dalam sindrom penafian (denial syndrome) sangat menjelikkan rakyat. Antara langkah yang seharusnya diambil oleh kerajaan adalah mewujudkan zon penternakan babi secara tertutup dan jauh dari kawasan penempatan bersama pelan mitigasi risiko alam sekitar. Selain itu, sudah semestinya kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan yang ketat dengan mengambil tindakan kepada ladang yang gagal mematuhi peraturan tindakan undang-undang yang berat dan penutupan segera.
Namun kita boleh jangkakan bahawa isu ini akan dibiarkan oleh kerajaan memandangkan sehingga ke saat ini kerajaan tidak memberi respon secara baik kepada keresahan rakyat DUN Ayer Kuning. Maka, rakyat sudah boleh membuat keputusan di peti undi esok, sama ada mahu kepada parti yang prihatin atau kepada parti yang hanya memikirkan kuasa dan kepentingan mereka sahaja. Selamat mengundi!
DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS – HARAKAHDAILY 25/4/2025











