SPM 2024: 11 calon Terengganu raih semua A+

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seramai 11 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan cemerlang tertinggi dengan memperoleh semua gred A+ dalam setiap mata pelajaran yang diambil.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan negeri, Rosli Chik, jumlah itu menunjukkan peningkatan tiga calon berbanding lapan orang pada tahun 2023.

“Terengganu merekodkan seramai 532 calon atau 3.19 peratus mendapat keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 464 calon (2.83 peratus) pada tahun sebelumnya.

“Selain itu, seramai 3,995 calon atau 23.93 peratus memperoleh sekurang-kurangnya gred C dalam semua mata pelajaran, meningkat sebanyak 129 calon berbanding 3,866 calon (23.60 peratus) pada 2023,” katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman analisis keputusan peperiksaan SPM 2024 di sini, hari ini.

Rosli turut memaklumkan bahawa Gred Purata Negeri (GPN) Terengganu mencatat 4.31 mata, menunjukkan penurunan berbanding 4.41 mata pada 2023, sekali gus mengatasi purata kebangsaan iaitu 4.49.

Beliau berkata, Kuala Terengganu muncul sebagai Gred Purata Daerah (GPD) terbaik iaitu 4.11 mata.

“Daerah ini turut merekodkan peratus kelayakan SPM tertinggi dengan 97.52 peratus calon layak menerima sijil.

“Selain itu, Kuala Terengganu mencatat peratus tertinggi calon memperoleh semua A dengan 4.38 peratus serta peratus lulus semua mata pelajaran tertinggi iaitu 71.00 peratus.

“Sementara itu, daerah Kemaman menunjukkan peningkatan Gred Purata sebanyak 0.24 mata,” katanya.

Selain itu, seramai 11,087 calon atau 66.41 peratus berjaya memperoleh sekurang-kurangnya gred E dalam semua subjek, meningkat berbanding 10,489 calon (64.03 peratus) pada tahun sebelumnya.

Keputusan penuh SPM 2024 boleh disemak melalui laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula jam 10 pagi, atau dengan hadir ke sekolah masing-masing. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -