‘Kita tak mahu insiden Putra Heights berulang di sini’

Mejar (B) Mansor Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu pencerobohan yang berlaku berdekatan Kampung Sungai Jagung dan Kampung Padang Pusing, Pendang, berjaya dikesan dan mendapat perhatian Kerajaan Negeri Kedah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria, berkata, pencerobohan itu berlaku di kawasan ladang di tanah yang kosong berhampiran rizab jalan serta termasuk di dalam kawasan jajaran laluan paip gas milik Petronas.

“Di rizab jalan itu ada beberapa buah rumah, kita terima aduan mereka korek tanah di kawasan itu. Sedangkan di kawasan itu terdapat paip gas yang ditanam lebih 21 kaki iaitu 6.4 meter kedalamannya.

“Walaupun mereka korek tidaklah dalam sangat tetapi kita bimbang dan takut lama-lama ia semakin dalam dan boleh mengundang bahaya.

“Kita tak mahulah insiden seperti di Putra Heights berulang di sini pula,” katanya ketika ditemui media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman, semalam.

Sebelum itu, Mansor turut membangkitkan perkara yang sama pada ucapan pergulungannya, pada Rabu, semalam.

Beliau difahamkan, penceroboh berkenaan mengorek kawasan tersebut, mengeluarkan  tanah merah untuk membuat rumah dan sebagainya.

“Kawasan itu, kita sudah tutup dengan merentangkan tali dan tanda bahawa tempat itu tidak boleh lagi boleh dicerobohi. Kemungkinan kejadian mengorek tanah kemungkinan telah dilakukan sejak dua hingga tahun lalu,” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sudah meminta Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) untuk bekerjasama dengan Petronas melakukan pemetaan semula dengan memasukkan kesemua jajaran paip gas Petronas dalam peta.

“Selepas ini jika ada pembangunan ke hadapan atau berkaitan kebenaran merancang, kita boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bahawa kawasan itu mempunyai paip gas.

“Hal ini penting supaya tidak ada sebarang pembangunan di kawasan berkenaan,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025

- Advertisement -