TMK 2025 cetus minat pemain industri, orang ramai

Dato' Mohd Salleh Saidin
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sepanjang tempoh empat bulan pertama 2025, program Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 berjalan lancar mengikut skala berbeza, sama ada kecil mahupun besar.

- Advertisement -

Kesemua program tersebut bergerak atas atas nama dan matlamat yang sama ‘Experience Kedah’ yang menjadi frasa tema TMK 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Keusahawanan  negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin, berkata, frasa yang ingin disampaikan itu, perlu disematkan dalam minda, hati dan sanubari kepada setiap pelancong dan pelawat ke negeri ini.

“Hampir setiap hari juga saya bertemu dengan pihak-pihak yang berminat untuk membantu menjayakan TMK 2025, sama ada melalui penganjuran acara, mempromosi produk sedia ada, mengangkat produk baharu dan sebagainya.

“Semua ini adalah petunjuk positif bahawa TMK 2025 telah mencapai sebahagian daripada matlamatnya,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, semalam.

Minat yang ditunjukkan ujar beliau, membuktikan TMK 2025  berjaya mencetuskan fenomena di kalangan pemain-pemain industri dan orang ramai, malah di sana sini masyarakat mula bercakap mengenainya.

“Semua itu bukanlah usaha pihak saya bersendirian, sebaliknya hasil daripada komitmen secara kolektif oleh pelbagai pihak, sama ada  pucuk pimpinan kerajaan negeri, sahabat-sahabat para YB di dewan ini, termasuk rakan-rakan di barisan pembangkang,termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, NGO dan orang perseorangan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri ini,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, selain memberi tumpuan kepada mempromosi destinasi pelancongan sama ada sedia popular mahupun yang baharu serta berpotensi.

Pihaknya juga memberi tumpuan pada segmen pelancongan acara kerana ia merupakan kaedah yang berkesan untuk menarik kehadiran pelancong dan pelawat.

Berikutan itu, jelasnya sebanyak 170 acara telah disenaraikan di dalam ‘Calendar of Events 2025’ bagi mengisi TMK 2025 sepanjang tahun ini, termasuk persediaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 nanti.

Malah katanya lagi, pihaknya juga berusaha mempelbagaikan acara-acara itu supaya ia menepati kehendak semua peringkat khalayak, bukannya terbatas kepada kumpulan tertentu sahaja.

“Ini termasuklah memberikan penekanan terhadap segmen-segmen, contohnya, yang berteraskan agama, pendidikan dan kesukanan.

“Sebagai contoh sepanjang bulan Ramadan lalu, kita berjaya menganjurkan program Iftar Perdana ‘Experience Kedah’ 2025 dengan kerjasama Yayasan Islam Negeri Kedah bertempat di Dataran Bandar, Alor Setar.

“Selama empat Jumaat berturut-turut program itu diadakan dan ia berjaya menarik ribuan orang ramai, dengan jumlahnya meningkat dari seminggu ke seminggu,” tambah ADUN Kubang Rotan itu lagi.

Justeru, kejayaan itu bukan sahaja mendorong pihaknya untuk mengadakan lagi program yang sama pada tahun hadapan, malah mencadangkan ia juga diadakan di semua bandar-bandar utama di negeri ini.

Program itu juga, kata Mohd Salleh, menjadi menginspirasikan  untuk melihat masjid-masjid di seluruh Kedah menjadi hub komuniti, yang boleh diangkat sebagai satu satu sumber jaya pelancongan.

“Alangkah manisnya jika pelancong dan pelawat dapat menimba sebahagian daripada ‘Experience Kedah’ dengan melihat dari dekat akrabnya hubungan komuniti kita di Kedah ini bersama institusi masjid,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

- Advertisement -