Raja Perlis puji kemajuan industri pelancongan negeri

- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan rasa kagum dan penghargaan terhadap kemajuan sektor pelancongan negeri yang kini semakin mendapat perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

- Advertisement -

Dalam titah perasmian sempena Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis, baginda menyatakan rasa syukur kerana dapat berangkat sendiri ke persidangan setelah dua tahun tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Baginda turut memetik statistik daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Perlis yang mencatatkan kehadiran hampir 2.99 juta pelancong sepanjang tahun 2024, satu angka yang mencerminkan perkembangan pesat industri pelancongan negeri tersebut.

“Tanpa kita sedar, sebenarnya jumlah kemasukan pelancong yang ramai ini adalah cerminan kemajuan produk dan industri pelancongan Perlis yang telah mencapai tahap yang boleh kita banggakan,” titah baginda.

Tuanku juga menzahirkan rasa bangga melihat kecekapan rakyat negeri Perlis kerana mengambil peluang daripada kemajuan ini dengan membina hotel dan inap desa yang cantik serta unik setanding, malah dalam beberapa hal melebihi negeri-negeri pelancongan lain di Malaysia.

Titah baginda turut menekankan pentingnya semua pihak, termasuk pengusaha dan pihak berkuasa, agar memastikan segala prosedur dan peraturan berkaitan pelancongan dipatuhi bagi mengekalkan nama baik negeri.

Perlis kini sedang giat mempromosikan pelbagai inisiatif sempena Tahun Melawat Perlis 2024–2025 yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi negeri, malah memberi peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan.

Baginda turut berharap agar kemajuan ini akan terus dipertingkatkan, selaras dengan visi negeri ke arah ‘Perlisku Bestari, Berkat Lestari’. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -