Raja Perlis bangga negeri capai sifar miskin tegar

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Perlis bukan sahaja berjaya mengangkat negeri ini keluar daripada belenggu kemiskinan tegar, malah turut mencatat pencapaian ekonomi yang membanggakan melalui pembukaan kilang Jabil Circuit Sdn Bhd baru-baru ini.

- Advertisement -

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan rasa syukur dan penghargaan terhadap usaha gigih yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Baginda bertitah bahawa Perlis kini tersenarai sebagai salah satu daripada empat negeri yang berjaya mencapai status sifar miskin tegar, berdasarkan data Bank Data Kemiskinan Nasional e-Kasih sehingga 31 Disember 2024.

“Beta amat menghargai gandingan usaha Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan Kerajaan Negeri Perlis apabila beta mendapat berita bahawa negeri Perlis telah mencapai status sifar miskin tegar,” titah baginda sempena Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis, hari ini.

Baginda turut memuji pelbagai inisiatif serta geran perniagaan disediakan kerajaan telah menjadi jambatan penting dalam membantu golongan itu memulakan langkah keluar daripada kepompong kemiskinan, seterusnya menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan bulanan kerajaan.

Tuanku menekankan agar usaha membanteras kemiskinan diteruskan secara berterusan, dan kerajaan negeri perlu sentiasa turun padang bagi memastikan tiada golongan yang kembali terjerumus ke dalam kelompok miskin tegar.

“Beta mohon supaya golongan ini terus dibantu secara menyeluruh agar mereka dapat berdikari dan memajukan ekonomi negeri Perlis secara bersama,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, Tuanku turut menzahirkan kegembiraan dengan perkembangan sektor pekerjaan di negeri ini, khususnya melalui pembukaan kilang Jabil Circuit Sdn Bhd yang telah dirasmikan oleh baginda sendiri pada 7 April lalu.

Menurut baginda, pengoperasian kilang tersebut telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Perlis, termasuk kepada mereka yang berkelulusan rendah hingga ke peringkat tinggi.

“Statistik permohonan pekerjaan melalui MyFutureJobs mencatatkan 3,564 orang dari pelbagai latar belakang pendidikan, dan beta yakin kilang ini mampu menyerap ramai tenaga kerja tempatan serta membantu menurunkan kadar pengangguran,” titah baginda.

Sehingga Mac 2025, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan jumlah kehilangan pekerjaan di Perlis hanyalah seramai 29 orang, dengan majoritinya daripada sektor perkhidmatan dan pembinaan.

Tuanku turut menyeru rakyat agar merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan serta meneroka inisiatif keusahawanan yang telah disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Beta juga menyeru semua agensi kerajaan dan pihak NGO mempergiatkan usaha mencari peserta yang berminat dan selayaknya untuk memulakan perniagaan serta bimbinglah mereka agar sama-sama dapat membangunkan negeri kita ini,” titah baginda lagi.

Baginda turut mengingatkan semua pihak agar terus memberikan komitmen dan fokus kepada masa depan rakyat dan negeri dalam setiap perbahasan dan tindakan, selari dengan hasrat menjadikan Perlis sebagai negeri yang berkat, lestari dan berdaya maju. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -