
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan berharap kunjungan rasmi
Konsul Jeneral Jepun, Machida Shinya ke Kelantan akan meningkatkan prestasi ekonomi yang lebih pada negeri dan rakyat di negeri ini.
Penghargaan itu dirakamkan Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, sempena kunjungan Machida ke pejabatnya, semalam.
“Kami amat menghargai peranan Jepun sebagai rakan strategik dan pelabur di Malaysia, dengan syarikat-syarikat Jepun seperti Rohm-Wako.
“Syarikat tersebut telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri dan peluang pekerjaan di Kelantan,” katanya Fadzli pada catatan di _Facebook_.
Menurut Fadzli, dalam perbincangan itu beliau turut mengetengahkan rancangan pembangunan Kelantan, termasuk potensi Tanah Tinggi Lojing dalam bidang eko-pelancongan dan pertanian mampan.
“Saya turut menekankan kepentingan strategik kawasan Golok yang terletak di sempadan Malaysia–Thailand, yang berdepan cabaran seperti mitigasi banjir.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu ini demi memastikan kebajikan masyarakat di kawasan sempadan,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau yakin lawatan ini akan terus mengukuhkan hubungan antara Kelantan dan Jepun.
Ia diharap mempereratkan hubungan diplomatik dan menggalakkan pelaburan berterusan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu. – HARAKAHDAILY 17/4/2025











