
KOTA BHARU: Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) memerlukan 20 orang pemandu bas wanita untuk perkhidmatan bas henti-henti dengan nama barunya Bas.My Kota Bharu yang bermula 1 Julai ini.
Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail berkata, dari jumlah tersebut yang diperlukan, tetapi hanya seorang setakat ini yang datang ‘melamar’ untuk jawatan tersebut.
Katanya, E-Mutiara sangat mengalu-alukan penglibatan wanita sebagai pemandu bas khususnya pada hari Jumaat bagi mengelakkan pemandu lelaki meninggalkan solat berkenaan.
“Kebiasaannya orang ramai terpaksa menunggu tempoh yang agak lama kerana bas tidak beroperasi pada tempoh tertentu pada hari Jumaat.
“Namun setelah adanya pemandu wanita nanti perkara itu dapat dielakkan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri E-Mutiara di Hotel Perdana, di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat serta Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Che Ibrahim juga memberitahu, Kelantan menjadi negeri pertama di Pantai Timur menerima lapan bas elektrik bernilai RM1.4 juta setiap sebuah untuk perkhidmatan itu, menjadikan pada Julai nanti sebanyak 78 bas akan beroperasi di negeri ini.
“Buat masa ini kita beroperasi 27 buah sahaja dan kita akan tambah lagi 43 buah, termasuk beberapa laluan baharu yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ini bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kelantan,” katanya pihak beliau masih memerlukan lebih ramai pemandu berwibawa dan berhemah bagi memandu Bas.My Kota Bharu.
Ujarnya, pemandu wanita amat diperlukan walaupun tanpa Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kerana pihaknya akan melatih sehingga berjaya.
Che Ibrahim berkata, setakat ini hanya seorang pemandu wanita lulus temu duga, namun syarikat memerlukan seramai 20 orang.
“Terutamanya pada hari Jumaat, sekurang-kurangnya mereka boleh menggantikan pemandu lelaki yang menunaikan solat Jumaat.
Pada sidang media itu juga, Che Ibrahim turut mendedahkan pihaknya sentiasa memberi peringatan kepada pemandu bas supaya mematuhi undang-undang jalan raya sekiranya ingin menjadi keluarga E-Mutiara.
Tegasnya, bukan setakat itu, pemandu atau bakal pemandu bas juga diingatkan tidak mengambil bahan terlarang.
“Sekiranya mereka terpalit dengan bahan terlarang itu, memang tidak akan ada rayuan lagi kerana sejak awal lagi kita telah memberi penerangan berhubung perkara itu.
“Ketika Town Hall, perjumpaan biasa, mesyuarat atau pertemuan harian perkara ini sentiasa ditekankan dan sekiranya disabitkan berlaku, ianya tiada maaf lagi pada petugas kami,” katanya.
Tambah beliau lagi, perkhidmatan yang dikenali sebagai Bas.My Kota Bharu akan dijayakan oleh E-Mutiara itu menawarkan empat laluan di sekitar bandar ini.
Menurutnya, laluan itu ialah Kota Bharu-Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra-Sabak, Kota Bharu-Panchor-Kemumin-Sabak, Kota Bharu-Pengkalan Chepa, Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan.
“Kadar tambang yang dikenakan oleh bas elektrik sama dengan perkhidmat sedia ada sebagaimana yang telah ditetapkan oleh APAD,” katanya lagi.
Lebih menarik katanya, bas tersebut menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah, pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta, warga emas serta orang kurang upaya (OKU).
Che Ibrahim berkata, bagaimanapun mereka perlu berdaftar dengan E-Mutiara sebanyak RM10 untuk menikmati kemudahan itu seumur hidup.
“Bagi pelajar sekolah penggunaan itu hanya terpakai semasa hari persekolahan sahaja dan mereka perlu memakai pakaian seragam. Manakala pelajar institut pengajian tinggi mereka perlu menunjukkan kad matrik,” ujarnya.
Tambahnya, bagi OKU dan warga emas mereka perlu menunjukkan kad pengenalan atau kad pengesahan pendaftaran sahaja. – HARAKAHDAILY 17/4/2025











