Tanaman kontan jangka pendek jana pendapatan rakyat

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu kini memberi tumpuan kepada pembangunan sektor tanaman kontan jangka pendek sebagai usaha menjana pendapatan rakyat dan meningkatkan impak sosioekonomi negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, D. Azman Ibrahim berkata, pendekatan itu diambil berdasarkan beberapa faktor termasuk tempoh tuaian singkat, pengurusan praktikal serta tidak memerlukan modal besar.

“Kita letak tanaman kontan jangka pendek ini sebagai keutamaan atas beberapa faktor, yang pertama singkat masa, kemudian pengurusan yang praktikal tidak memerlukan modal yang besar.

“Dalam masa yang sama kita mudah untuk nak guna tanah tanah kerajaan, kita boleh mohon secara lesen pendudukan sementara (LPS) dan kita juga boleh memanfaatkan tanah tanah daripada Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut beliau, sebanyak lima buah TKPM sedia ada akan ditambah lima lagi di bawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024–2030 bagi memastikan setiap daerah di negeri ini mempunyai kemudahan tersebut.

“Tiada satu daerah pun akan terkecuali daripada menerima manfaat sektor pertanian ini. Kita melihat sektor ini sebagai sektor rakyat yang boleh diceburi oleh semua lapisan masyarakat,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/4/2025

- Advertisement -