Aidilfitri DUN Rhu Rendang tarik lebih 8,000 pengunjung

- Advertisement -

MARANG: Suasana Aidilfitri di Pantai Peranginan Kelulut hari ini menyaksikan lebih 8,000 pengunjung membanjiri rumah terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Langit cerah terbentang dan angin laut sejuk menyapa lembut, pantai yang lazimnya tenang berubah menjadi tapak pesta rakyat meriah dengan kehadiran ramai berpakaian tradisional raya, warna-warni gerai, gelak tawa pengunjung serta aroma juadah membangkitkan selera.

Uniknya majlis ini, setiap kampung dalam DUN Rhu Rendang mengambil peranan menyediakan juadah istimewa, mencipta pengalaman raya yang tidak hanya mengenyangkan perut tetapi mengikat hati seluruh komuniti.

Seberang Marang tampil dengan nasi minyak gulai daging, Gerai Kijing jadi tumpuan dengan kambing bakar yang empuk dan berjus, sementara Bukit Gasing pula menyajikan ayam pusing dan ayam madu menjadi rebutan sejak awal majlis.

Tidak ketinggalan, gerai minuman menyediakan pelbagai jenis pilihan yang menyegarkan tekak dalam suasana panas meriah.

Rusila menggamit kenangan dengan mee goreng dan kuey teow, manakala Medan Jaya menghidang laksa Terengganu kuah merah dan putih, manakala Sentol Patah pula menyediakan apam balik panas dan keropok lekor rangup, kegemaran dewasa dan kanak-kanak.

Rhu Muda menampilkan sate ayam bersama nasi impit dan sate ikan yang dibakar segar, Bandar Marang pula menyediakan rendang ayam dan daging menjadi pelengkap rasa Aidilfitri, dan Pulau Kerengga membawa sentuhan tradisi raya dengan ketupat, lemang dan tapai.

Gerai Kelulut menyajikan nasi dagang yang tidak mengecewakan dengan gulai ikan tongkol pekat, ditambah colek buah yang menyegarkan.

Gerai Batangan menjadi tempat tumpuan pencuci mulut iaitu cendol, tembikai sejuk dan aiskrim aneka rasa, dengan detik paling menggembirakan kanak-kanak tentunya menerima duit raya yang menceriakan lagi suasana raya di pesisir pantai.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut turun padang beramah mesra dengan warga pengunjung.

Majlis yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 2 petang itu tidak hanya menonjolkan kemeriahan Aidilfitri, tetapi juga kesedaran buat umat Islam.

Sebuah Tabung Solidariti Palestin Al-Quds diletakkan di hadapan pentas sebagai tanda sokongan rakyat terhadap perjuangan saudara seagama.

Tuan Guru dan Ahmad Samsuri antara yang terawal menghulurkan sumbangan, sebagai tanda perjuangan untuk keadilan dan kebebasan tidak pernah berhenti walau dalam suasana penuh keceriaan. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -