Kerajaan ambil serius isu libatkan laluan lori sampah

- Advertisement -

BACHOK: Kerajaan negeri mula merangka inisiatif bagi menyelesaikan masalah di jalan masuk ke Tapak Pelupusan Sampah Beris Lalang sering rosak kerana tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, beliau meminta agar satu kajian awal dapat dilaksanakan bagi menangani isu itu.

Malah menurutnya, beliau turut memahami keperitan dan kesukaran penduduk sekitar terpaksa berkongsi jalan dengan lori kompaktor dari empah buah kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama Bahagian Kerajaan Tempatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pengurusan Sisa Pepejal Mubaaraakan (PSPM) dan Kelantan Utilities Mubaarakan (KUM).

“Pertemuan ini bagi mengkaji dan mencari jalan penyelesaian segera bagi membaiki jalan masuk ke Tapak Pelupusan Sampah di Beris Lalang Bachok,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu menjelaskan, laluan sejauh kira-kira satu kilometer dari jalan utama, Jelawat-Beris Lalang itu tidak mampu menampung kenderaan muatan sehingga lima tan.

Bukan itu sahaja kata beliau lagi, keadaan jalan kampung yang berlubang sedalam lebih satu kaki itu turut menyebabkan banyak jentera pembersihan PBT terbabit turut mengalami kerosakan.

Laluan tersebut ujarnya, digunakan setiap hari oleh lori kompaktor Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Majlis Daerah Ketereh (MDK), Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan Majlis Daerah Bachok (MDB).

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 100 buah lori sampah dengan 300 kali perjalanan setiap hari yang menggunakan laluan tersebut turut menganggu kehidupan penduduk tempatan dengan bau busuk.

Ia menjadi laluan utama untuk menghantar sampah ke tapak pelupusan sampah seluas 22 hektar yang terletak jauh di hujung kampung yang dinamakan Kampung Nibong Ulu Beris Lalang Bachok. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -