
KUANTAN: Cadangan pembinaan sebuah sekolah rendah baharu di Kempadang perlu diberi perhatian serius susulan pertambahan mendadak penduduk di kawasan itu, kata Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.
Menurutnya, isu tersebut telah dibangkitkan dalam perbahasan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, selain turut diajukan soalan bertulis kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada sidang Februari hingga Mac 2025.
Menurut jawapan bertulis KPM, Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang kini menampung seramai 1,671 murid dengan hanya 24 bilik darjah sedia ada, sedangkan keperluan operasi harian sekolah tersebut adalah sebanyak 49 kelas, menyebabkan ia terpaksa beroperasi dalam dua sesi.
Sebagai langkah jangka pendek, pembinaan bangunan tambahan di SK Kempadang telah diluluskan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) bagi tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
“Walau bagaimanapun, bagi jangka masa panjang, bangunan sekolah baharu amat perlu bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan ini,” kata Wan Razali.
Selain SK Kempadang, SK Sungai Soi turut mengalami situasi serupa dengan jumlah murid seramai 1,451 orang dan 30 bilik darjah, namun beroperasi dengan 39 kelas juga secara dua sesi.
Berdasarkan analisis data semasa, KPM mengesahkan terdapat keperluan untuk penambahan bilik darjah dan pembinaan sekolah baharu di kawasan tersebut.
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan kini sedang mengenal pasti tapak yang bersesuaian bagi tujuan itu.
KPM turut memaklumkan bahawa permohonan pembinaan sekolah baharu akan dikemukakan kepada agensi Pusat setelah urusan perolehan dan pemilikan tapak diselesaikan.
Namun begitu, kelulusan pembinaan sekolah tersebut masih tertakluk kepada keutamaan dan kedudukan kewangan kerajaan. – HARAKAHDAILY 10/4/2025











