URA: PM nak demo, hendak dikerah siapa turun?

Cenderung pemaju, abaikan rakyat?

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Mardhiyyah Johari kesal dengan pendirian Kerajaan Madani yang dilihat lebih cenderung kepada pemaju berbanding kepada rakyat dalam isu Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

- Advertisement -

Malah katanya, Ahli-Ahli Parlimen khususnya dari blok Pakatan Harapan (PH) juga kelihatan lebih kepada menjadi jurucakap kerajaan dan tidak menjawab kerisauan yang dibangkitkan oleh rakyat.

“Kerisauan serta kritikan yang dibangkitkan oleh rakyat berkenaan URA itu didiamkan sebaliknya kerajaan dengan mudah menggunakan modal lain.

“(Kononnya) pembangkang memainkan sentimen perkauman dan agama dalam hal berkenaan,” tegas pengamal undang-undang itu melalui hantarannya di media sosial, di sini.

Jelas Mardhiyah yang juga Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, sepatutnya tidak berlaku ‘sindrom penafian’ kononnya yang tidak bersetuju dengan URA ini hanya pemimpin pembangkang.

Sedangkan ujarnya, ramai lagi pihak lain yang mengangkat suara rakyat menyatakan tidak bersetuju untuk dilaksanakan akta tersebut, terutama penduduk yang memang mendiami satu-satu tempat itu sejak turun-temurun.

“Penduduk inilah yang akan terjejas sekiranya URA ini dilaksanakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur.

Menurutnya, pengenalan yang terkandung di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar yang dikeluarkan oleh Pelan Malaysia, mendapati isu utamanya adalah ambang persetujuan.

“Ada situasi yang hanya memerlukan cuma 75 peratus atau 80 peratus persetujuan, tetapi bagaimana dengan baki peratusan penduduk yang tidak bersetuju rumah dan tanah mereka diambil?

“Serta bagaimana caranya kerajaan nak menjamin masa depan kehidupan mereka selepas pembangunan itu dibuat?” soalnya lagi.

Perkara itu tegasnya, perlu difikirkan kerana mengikut undang-undang, akta itu diberikan hak untuk pengambilan tanah dan rumah walaupun tidak dipersetujui pemilik.

Dalam pada itu kata beliau lagi, kerajaan perlu mengadakan perbincangan serta mengemukakan cadangan penyelesaian bagi menenangkan semua pihak.

Sementara rakyat pula diberi jaminan bahawa kerajaan akan berlaku adil dan bukan hanya bersifat pro-pemaju tanpa memikirkan nasib mereka.

“Pertama apa nasib dan masa depan pemilik asal yang tidak bersetuju rumah dan tanah mereka diambil?

“Kedua, apakah jaminan kerajaan yang boleh menghilangkan kerisauan komuniti setempat yang telah mendiami kawasan itu bertahun-tahun lamanya selepas pembangunan itu dilaksanakan?” soalnya lagi.

Kerajaan katanya, perlu serius kerana kerisauan dibangkitkan rakyat bukan semberono tetapi bersandarkan situasi yang pernah berlaku sebelum ini di merata tempat.

Walaupun ujar beliau, 10 prinsip pembaharuan semula bandar itu ada menyebut berkenaan penempatan sementara yang kondusif.

Namun tegas beliau, makna ‘sementara’ itu perlu diperjelaskan lagi kerana mereka yang terlibat itu sebelum ini tinggal di rumah tetap dan di atas tanah milik asal mereka

“Penempatan sementara, sementara sampai bila?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau bersetuju dengan pandangan seorang pengamal undang-undang yang berpengalaman dan juga mantan Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim, berkenaan URA tersebut.

“Datuk Zaid ini bukan ahli PAS dan bukan juga pemimpin Perikatan Nasional (PN) tetapi pandangannya baik.

“Katanya, tidak adil bagi seorang Perdana Menteri mengatakan sesiapa yang tidak bersetuju ‘oppose’ dengan URA ini sebagai menafikan usahanya hendak  membangunkan orang-orang Melayu.

“Sedangkan kita boleh tengok contoh Land Acquisition Act yang membenarkan kerajaan ambil alih sesuatu kawasan ataupun sesuatu tanah untuk tujuan pembangunan.

“Tetapi apabila pembangunan dibuat tiba-tiba ada ‘golf club’  yang bukan bersifat kepentingan awam seperti awal-awal pengambilan tanah sebelum itu

“Begitu juga tanah Orang Asal yang diambil, makan masa bertahun-tahun untuk kaum Orang Asal itu dapatkan pampasan,” bidasnya.

Oleh itu nasihatnya, Perdana Menteri tidak perlu turun berdemontrasi dan sekiranya kerajaan perlu juga melakukannya, beliau membayangkan tidak ramai yang akan turun menyertai himpunan itu.

“Adakah kakitangan kerajaan akan dikerahkan untuk turun himpunan itu.Tak perlu kut..sebab mereka ada banyak kerja yang perlu dibuat,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

- Advertisement -