
KOTA RAJA: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari telah meluangkan masa menziarahi mangsa tragedi Putra Heights yang berasal daripada Pasir Mas, Kelantan, Abdul Aziz Zakaria di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), di sini hari ini.
Beliau yang diiringi Setiausaha Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Mohd Ashrul Hisyam Abdul Jalil turut menyampaikan sumbangan untuk keluarga Abdul Aziz pada pertemuan di Dewan Camelia, Subang Jaya itu.
Mohd Ashrul terdahulu sebelum itu telah memberikan taklimat kepada Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS berkenaan kejadian berlaku semasa letupan tersebut dan menunjukkan lokasi berdekatan, serta operasi digerakkan Khidmat Malaysia.
Terdahulu, media tempatan melaporkan satu letupan kuat melibatkan saluran paip gas milik PETRONAS di Putra Heights pada 1 April lalu mengakibatkan kebakaran besar, mencederakan 145 orang dan memusnahkan puluhan rumah serta kenderaan.
Letupan berlaku sekitar jam 8:08 pagi, menyebabkan api menjulang setinggi 30 meter sebelum berjaya dikawal pasukan bomba beberapa jam kemudian.
PETRONAS dalam kenyataan segera mengesahkan kejadian itu melibatkan saluran paip utama milik anak syarikatnya, PETRONAS Gas Berhad (PGB), dan menyatakan bahawa paip berkenaan telah diasingkan sejurus kejadian bagi mengelak risiko susulan.
Menurut laporan, 67 mangsa menerima rawatan di hospital kerajaan kerana melecur tahap kedua dan ketiga, manakala 37 lagi dirawat di hospital swasta dan klinik.
Kebakaran itu turut memusnahkan lebih 190 rumah serta 148 kenderaan yang berada di kawasan kejadian. – HARAKAHDAILY 7/4/2025











